Belanjawan 2026: Bukti keprihatinan, ketegasan kerajaan bela rakyat
- Suara Keadilan

- Oct 14
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Belanjawan MADANI 2026 dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi membuktikan komitmen kerajaan untuk membela rakyat melalui dasar yang inklusif, realistik dan berimpak tinggi.
Exco Wanita KEADILAN Pusat, Idawatie Pariman (gambar) berkata, belanjawan kali ini bukan sekadar dokumen kewangan tetapi juga manifestasi keprihatinan dan ketegasan kerajaan dalam menyalurkan sumber negara untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkukuh asas ekonomi negara.
"Aspek kos sara hidup menjadi keutamaan kerajaan, dengan pelbagai bantuan dan inisiatif bagi memastikan tiada rakyat tercicir," katanya dalam kenyataan.
Antara inisiatif bantuan rakyat dan kos sara hidup yang diumumkan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sehingga RM2,200 setahun, SARA RM200 sebulan kepada penerima e-Kasih, serta Jualan Rahmah dengan potongan harga sehingga 30 peratus bagi barangan asas.
Kerajaan juga mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter, menyediakan pendidikan percuma PTPTN kepada 5,800 anak keluarga miskin, dan Bantuan Awal Persekolahan RM150 kepada 5.2 juta pelajar selain memperluas Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada 870,000 murid sekolah rendah.
Sementara itu menurut Idawatie, secara keseluruhannya belanjawan kali ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara yang semakin pesat.
Ia terbukti apabila kerajaan turut memberi perhatian kepada golongan petani, nelayan dan OKU melalui pelbagai skim khas bagi meningkatkan pendapatan dan kebajikan mereka.
"Langkah-langkah yang digariskan ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam membina masa depan Malaysia yang lebih makmur, sejahtera dan mampan demi rakyat seluruhnya.
"Bukan sahaja memperkukuh asas ekonomi, malah belanjawan ini memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat melalui pelbagai inisiatif yang inklusif, realistik dan berimpak tinggi," tambah Ketua Biro Kemasyarakatan Wanita KEADILAN Pusat itu.









Comments