Belanjawan 2026 beri isyarat kerajaan serius laksana reformasi kesihatan
- Suara Keadilan
- Oct 13
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Sekumpulan Ahli Parlimen yang menggelarkan diri mereka sebagai Friends of Kementerian Kesihatan Malaysia (FOM-KKM) menyatakan sokongan penuh terhadap Belanjawan 2026 dengan menyifatkannya sebagai satu isyarat jelas kesungguhan kerajaan melaksanakan reformasi menyeluruh sektor kesihatan negara.
Dalam kenyataan bersama, FOM-KKM menegaskan bahawa peruntukan RM46.5 bilion kepada KKM merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah kementerian itu dan mencerminkan keutamaan kerajaan terhadap kebajikan rakyat serta pengukuhan sistem perkhidmatan kesihatan awam.
Jumlah tersebut bersamaan 11.04 peratus daripada keseluruhan bajet kerajaan bagi tahun depan.
"Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kepimpinan negara, sektor kesihatan mendapat perhatian yang konsisten dan signifikan dengan bajet kementerian meningkat daripada RM36 bilion pada tahun 2023 kepada RM46.5 bilion pada 2026, menunjukkan kenaikan mendadak sebanyak 29.2 peratus dalam tempoh tiga tahun," kata kumpulan ahli parlimen itu.
FOM-KKM berkata Belanjawan 2026 memperlihatkan beberapa langkah penting yang akan memberi impak besar kepada sistem kesihatan negara antaranya penambahan peruntukan bagi penyelenggaraan dan baik pulih hospital serta klinik kesihatan.
Selain itu kata mereka peruntukan tersebut juga bagi penggantian peralatan perubatan lapuk, peningkatan jaringan Internet di fasiliti kesihatan serta pelantikan tetap ribuan doktor dan jururawat kontrak.
Dalam Belanjawan 2026, Perdana Menteri turut mengumumkan peningkatan kadar Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) sebanyak kira-kira 40 peratus berkuat kuasa 1 Oktober 2025, selepas kali terakhir disemak pada tahun 2011, kata mereka.
Selain itu, kadar fi perundingan bagi pengamal perubatan am (GP) juga dinaikkan antara RM10 hingga RM80 manakala hasil tambahan daripada cukai rokok dan minuman keras akan diagihkan kepada KKM bagi membiayai Inisiatif Kesihatan Paru-Paru serta program rawatan penyakit diabetes dan jantung.
Dalam pada itu, sejumlah dana RM60 juta diperuntukkan melalui kerjasama kerajaan dan industri bagi memperkenalkan produk insurans asas mampu milik untuk rakyat serta melaksanakan sistem Diagnosis Related Group (DRG).
Sejumlah RM144 juta disediakan bagi meningkatkan kerjasama penyumberan luar pesakit ke hospital tentera, universiti dan swasta bagi mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan.
FOM-KKM menegaskan bahawa kesemua inisiatif tersebut akan merancakkan usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap, inklusif dan berdaya tahan kepada rakyat Malaysia.
Kumpulan itu turut menekankan bahawa pelaksanaan bajet sebesar itu perlu dijalankan dengan penuh kecekapan, ketelusan dan integriti supaya setiap peruntukan memberi manfaat maksimum kepada rakyat tanpa ketirisan atau pembaziran.
"FOM menaruh harapan besar kepada Kementerian Kesihatan untuk memastikan semua projek dan program dilaksanakan secara efisien dan berlandaskan integriti demi kesejahteraan rakyat," kata kenyataan itu.
Mereka juga menyeru rakyat agar terus menyokong usaha Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkifli Ahmad dalam melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sektor kesihatan negara.
Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh enam Ahli Parlimen iaitu Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Suhaizan Kaiat (Pulai), Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah), Young Syefura Othman (Bentong), Oscar Ling Chai Yew (Sibu) dan Onn Abu Bakar (Batu Pahat).
Comments