top of page

'Belanjawan 2026 berani, bela rakyat, hanya otak pembangkang tempang'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 12
  • 2 min read

ree

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar) membidas kenyataan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman yang mendakwa Belanjawan 2026 “tempang” dan “tidak cukup berani”, sambil menyifatkan kritikan itu sebagai tidak berasaskan fakta.


Menurut Mahfuz, tuduhan pemimpin pembangkang hanya menunjukkan kelemahan beliau membaca belanjawan negara menggunakan pendekatan ekonomi sebenar.


"Malangnya, yang kelihatan tempang bukan Bajet 2026 tetapi cara kepala otak beliau membaca bajet negara dengan mata politik, bukan dengan akal ekonomi," bidasnya dalam satu kenyataan.


Beliau menegaskan bahawa Belanjawan 2026 dibina berasaskan data dan disiplin fiskal, bukan retorik politik.


Mahfuz juga menempelak pembangkang yang disifatkannya “gagal memahami keseimbangan fiskal”, apabila terus menuduh kerajaan bersikap populis walaupun bajet semasa menurunkan defisit kepada 3.5 peratus sambil mengekalkan bantuan bersasar kepada rakyat.


"Beliau mendakwa bajet ini “tidak seimbang” dan “berunsur pra pilihanraya ”, tetapi tidak mengemukakan sebarang data, angka, atau analisis fiskal untuk menyokong tuduhan itu," katanya.


Manakala dakwaan bahawa negeri pembangkang seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah “tidak menikmati pembangunan seimbang” pula dibidas Mahfuz, yang berkata Belanjawan 2026 jelas memperuntukkan pelbagai projek di negeri-negeri tersebut termasuk bekalan air, lebuh raya, dan program agromakanan.


"Kalau hendak bercakap soal keadilan wilayah, bacalah angka dulu. Jangan menuduh sebelum semak dokumen rasmi Kementerian Kewangan. Ilmu ekonomi bukan tentang rasa tidak puas hati, tetapi tentang fakta," ujarnya.


Mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut membidas pemimpin Pas kerana sewaktu Perikatan Nasional memerintah pada 2020 - 2022 lalu tidak pula mereka menghasilkan belanjawan sebagaimana dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau juga mempersoalkan ungkapan kononnya Belanjawan Madani 2026 mengandungi "bunga bunga pilihanraya" untuk memudahkan kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum awal pada tahun hadapan.


"Bila kerajaan membentang bajet dengan dasar fiskal terkawal, beliau kata “tak cukup berani”. Tapi bila kerajaan dulu belanja semberono tanpa kawalan, rakyat yang menanggung akibatnya.


"Inilah masalah pembangkang hari ini, cakap tentang perubahan, tapi bila diberi kuasa, kabinet lori sampah yang dibawanya.


"Kata mereka bajet ini “bunga-bunga pilihanraya”. Hairan bila kerajaan bantu rakyat, dikata beli undi; bila kerajaan tak bantu, dikata zalim," sinis Mahfuz.


Tegas beliau, Belanjawan 2026 telah menunjukkan keberanian Kerajaan Madani melaksanakan reformasi bersasar seperti penstrukturan subsidi, digitalisasi perkhidmatan awam, cukai progresif, dan langkah menurunkan defisit. Hal itu katanya bagi menjamin pengukuhan ekonomi negara pada masa hadapan.


"Itu semua (reformasi) bukan kerja orang penakut. Yang benar benar tempang ialah pembangkang yang masih hidup dalam nostalgia lama, menganggap ekonomi boleh diurus dengan mikrofon (ceramah) dan mimpi," sinis Mahfuz lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page