Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yakin Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat Jumaat lalu mampu menangani isu kemiskinan secara multidimensi.
Fadhlina ketika menyentuh peruntukan yang diberikan untuk memperkasa bidang pendidikan berkata, belanjawan yang diumumkan berada di landasan yang tepat untuk mengatasi kemiskinan dalam pendidikan, termasuk kemiskinan nutrisi dalam kalangan pelajar, peranti bagi pembelajaran digital dan infrastruktur melibatkan sekolah daif.
"Kemiskinan multidimensi kita tidak bercakap mengenai satu saja kemiskinan pendapatan, tetapi ia merentas pelbagai kemiskinan yang memerlukan solusi multidimensi. Salah satu aspirasi saya (selaku menteri pendidikan) adalah bagaimana mengatasi kemiskinan multidimensi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup Konvensyen Pembelajaran Digital 2023 di Universiti Malaysia Sabah baru baru ini
Fadhlina dalam pada itu menyambut baik peruntukan RM1.2 bilion untuk menyegerakan pembaikan 400 klinik dan 380 sekolah daif; selain meningkatkan had sebut harga perolehan kerja pembaikan kepada RM1 juta berbanding RM500,000 sebelum ini
Langkah itu jelasnya akan membolehkan pelajar menuntut ilmu dalam persekitaran selesa dan kondusif.
Sementara itu menurut Ketua Wanita KEADILAN itu lagi, isu kemiskinan nutrisi di kalangan pelajar turut diambil perhatian serius pihak kerajaan.
Untuk itu kerajaan akan menambah baik program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah selain menjalankan program lain di peringkat prasekolah untuk mengatasi isu kemiskinan nutrisi di kalangan pelajar.
"Melihat anak-anak kita kekurangan nutrisi amat menyayat hati, justeru apabila kita buat belanjawan ini, salah satu kita perjuangkan adalah nutrisi untuk anak-anak kita," katanya.
Comments