Belanjawan 2023 yang diolah semula siap sedia untuk dibentangkan di Dewan Rakyat esok.
Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi sempat meninjau proses akhir penyediaan dokumen belanjawan tersebut dan menurunkan tandatangan ke atas dokumen berkenaan.
"Luang masa meninjau persiapan terakhir Belanjawan 2023 Malaysia MADANI dan menandatangani dokumen berkaitan di Kementerian Kewangan petang tadi.
"Saya turut diapit Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong serta Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Datuk Johan Mahmood Merican," katanya dalam catatan di Facebook.
Menurut Anwar, Belanjawan 2023 setelah diolah semua mengandungi ciri ciri negara Madani yang mengutamakan rakyat.
Dalam pertemuan bersama kakitangan Kementerian Kewangan itu beliau terharu apabila ditunjukkan gambar ketika menjadi Menteri Kewangan (gambar atas) pada era 1990an.
"Saya juga sempat beramah mesra dengan kakitangan yang terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI. InsyaAllah, nantikan pembentangannya jam 4.00 petang esok," kata beliau lagi.
Untuk rekod Bajet 2023 sebelum ini dibentangkan pada 28 Oktober 2022 namun tidak sempat diluluskan akibat pembubaran parlimen bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum ke 15.
Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan esok pula telah ditambah baik dan dimasukan tumpuan baharu sesuai dengan dasar sosio ekonomi Kerajaan Perpaduan.
Comments