Belanjawan 2023: Harap pembangunan insfrastruktur besar di Sarawak
- Redzuan Shamsudin
- Feb 24, 2023
- 2 min read

Menjelang pembentangan Belanjawan 2023 petang ini, rakyat Sarawak berharap akan mendapat peruntukan pembangunan insfrastruktur yang lebih besar terutama dalam usaha menyambut pembangunan mega di Kalimantan Timur, Indonesia.
Timbalan Pengerusi KEADILAN Sarawak, Abun Sui Anyit berkata permindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara dalam setahun dua akan datang perlu dipersiap sediakan dengan pembinaan lebuh raya menyambungkan Sarawak dan kawasan pertumbuhan baharu tersebut bagi menjamin lebih banyak pelaburan ekonomi dinikmati rakyat Malaysia Timur.
"Hari ini merupakan hari yang sangat penting untuk rakyat Malaysia di mana Perdana Menteri yang juga Menteri kewangan akan membentangkan semula Belanjawan 2023.
"Sebagai rakyat Malaysia dari Sarawak, kita memang mengharapkan Belanjawan 2023 akan lebih banyak untuk Sarawak terutamanya dalam kemudahan infrastruktur
"Kalau Presiden Jokowi di Indonesia boleh membina jalan berturap baru lebih 1000 kilometer dalam beberapa tahun pemerintahannya, kita berharap perkara sama untuk Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini mengulas pembinaan lebuh raya trans Jawa sepanjang 1167 km dari Merak ke Banyuwangi.
Namun menurut ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN untuk Sabah dan Sarawak itu lagi, beliau tidak terlalu mengharapkan projek insfrastruktur mega kerana kewangan negara yang kurang baik selepas sedekad melalui pelbagai skandal kewangan.
Cuma, katanya terdapat keperluan segera untuk membangunkan kawasan bersempadan dengan Indonesia bagi memudahkan kemakmuran ekonomi negara jiran dikongsi bersama penduduk tempatan.
"Kita tidak mengharap sesuatu yang melangit dalam Belanjawan 2023 kerana faktor ekonomi negara terjejas. Kita harus adil kepada Perdana Menteri sebagai Menteri kewangan agar diberi masa untuk membangunkan Sarawak seiring dengan kemajuan kawasan Semenanjung Malaysia.
"Lebih-lebih lagi Indonesia membuka Ibu Negara baru, Nusantara di Kalimantan yang bersebelahan Hulu Rajang.
"Kita pasti Perdana Menteri ada idea untuk membangunkan pedalaman Hulu Rajang seiring dengan kemajuan Nusantara agar kedua-dua Negara menerima impak positif dari segi ekonomi dan sosial dinikmati rakyat," katanya lagi.
Bagaimanapun Abun Sui yakin, sebagai pejuang yang sentiasa memahami denyut nadi rakyat Perdana Menteri mempunyai tekad politik untuk memajukan semua rakyat terutama di Sarawak dan Sabah.
Comments