
Kerajaan Perkatan Nasional 2.0 diseru agar memperbanyakkan peruntukan bantuan tunai kepada golongan B40 dalam Belanjawan 2022.
Menurut penganalisis ekonomi dari DM Analytics, Dr Muhammed Abdul Khalid, bantuan tunai harus diberi kepada golongan berkenaan secara terus dan dalam jumlah yang berpatutan bagi membantu golongan mereka yang terkesan akibat pandemik Covid 19.
"Untuk golongan susah, bantuan tunai perlu diberikan berterusan dan lebih. Kita selalu beri sikit macam bantuan khas Covid, beri bulan Jun, Ogos dan sebagainya, bukan semua dapat.
"Kerajaan pula pakai indikator (paras) miskin yang lama, RM1,000 miskin. Sekarang RM2,000 sudah dikira miskin," katanya dalam forum maya anjuran Institut Darul Ehsan bertajuk "Bajet Untuk Apa Dan Siapa?", malam tadi.
Selain itu, Dr Muhammed juga menekankan penerusan program subsidi upah bagi tahun 2022.
Katanya, tanpa penerusan program tersebut dikhuatiri syarikat kecil atau sederhana akan membuang pekerja ketika ekonomi belum sepenuhnya pulih.
"Bantuan subsidi upah tamat bulan Disember. Sebelum ini kerajaan beri pun sedikit.
"Pada saya elok beri RM1 bilon sebulan. Kita tengok berapa majikan bagi setiap bulan, kira-kira RM25 bilion. Kerajaan subsidi RM1 bilion, dalam 4% saja. Kalau kos RM100, kerajaan bagi RM4. Tak ada menghasilkan perbezaan.
"Singapura bagi RM75, United Kingdom RM52. Maknanya supaya majikan tak buang pekerja," katanya.
Di samping itu, beliau turut mengingatkan agar bantuan diteruskan kepada golongan yang bekerja sendiri atau berniaga secara kecil-kecilan.
Biar pun golongan ini dalam rantaian bawah ekonomi namun katanya, golongan itu agak besar jumlahnya.
"Seterusnya yang harus dibantu golongan Makcik Kiah, mereka bekerja sendiri. Jumlah 2.4 juta. Ini juga harus diberi bantuan. Bantuan akan tamat Disember.
"Bantuan yang kita beri untuk mereka baik untuk ekonomi. Katakan mereka berniaga cekodok, mereka beli tepung dan menambahkan jualan (peniaga runcit). Ekonomi berkembang. Kita tak boleh kedekut dalam membantu kerana ini baik dalam (putaran) ekonomi," katanya lagi.