Belanjawan 2022: 30,000 aduan, tingkatkan peruntukan capaian internet luar bandar



Capaian atau sambungan internet di kawasan luar bandar dan pendalaman masih menjadi isu walaupun telah diberi peruntukan dalam beberapa siri Belanjawan yang lepas.


Menurut Jurucakap KEADILAN bagi Teknologi Digital, Telekomuniksi dan Pengangkutan Syed Ibrahim Syed Noh, inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) walaupun melaporkan liputan spektrum 4G sudah mencapai tahap 94.03% pada suku ketiga 2021, berbanding 93.51% pada suku sebelumnya namun masih terdapat banyak aduan kelemahan capaian internet di banyak kawasan terutamanya luar bandar.


"Berdasarkan laporan suku ketiga Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia, terdapat lebih daripada 30,000 aduan daripada pengguna terhadap capaian atau masalah rangkaian ketersambungan. Ini dikatakan telah menurun tetapi lebih 80% aduan datangnya daripada kawasan kediaman dan luar bandar.


"Pada Belanjawan 2021, sebanyak RM500 juta diperuntukkan untuk inisiatif Jendela bagi menggalak sambungan internet di sekolah. Saya menuntut perincian perbelanjaan ini dan keberkesannya kepada internet di sekolah.


"Sebanyak RM1.5 bilion pula diperuntukkan bagi memastikan sambungan internet untuk B40 dalam bentuk kredit RM180 seorang. Ini dikatakan akan memberi manfaat kepada 8 juta orang. Saya juga menuntut perincian perbelanjaan ini, mengikut negeri dan kawasan serta keberkesanan manfaat kepada rakyat," katanya.


Selain itu, kata Ahli Parlimen Ledang tersebut, peruntukan RM150 juta melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk perolehan komputer riba bagi 150,000 orang pelajar di 500 sekolah juga perlu disiasat kerana ternyata tidak terlaksana mengikut masa yang dijanjikan.


Katanya, perincian berkenaan ada diberi kepada Ahli-ahli Parlimen tetapi jumlah menyeluruh wajar disiasat dan dijelaskan.


"Justeru, untuk Belanjawan 2022, tertakluk kepada keberkesanan pelaksanaan dan perincian perbelanjaan Belanjawan 2021, saya mengesyorkan peruntukan tambahan diberikan kepada inisiatif Jendela khususnya kepada kawasan luar bandar terutama sekolah serta kawasan kediaman seperti di Felda, kampung serangkai atau gugusan.


"Peruntukan juga wajar diberi kepada usaha peningkatan kesedaran penggunaan teknologi di kawasan luar bandar. Insentif tertentu boleh diuntukkan untuk NGO atau badan komuniti melaksanakan ini," katanya.


Tegas Syed Ibrahim lagi, dalam suasana pandemik dan pemulihan ekonomi kerajaan wajar menumpukan kepada pelebaran jaringan dan liputan rangkaian internet.


"Hal itu wajar berdasarkan keperluan rakyat dan bukan hanya perancangan syarikat telekomunikasi. Pada masa yang sama, Parlimen melalui Jawatankuasa Pilihan Khas boleh melaksanakan siasatan terhadap tata kelola dan perbelanjaan kerajaan," katanya lagi.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER