Belanjawan 2021 tidak adil bagi Sabah dan Sarawak


Ahli Parlimen Julau, Larry Sng menyifatkan peruntukan yang ditetapkan dalam Belanjawan 2021 adalah tidak adil untuk Sabah dan Sarawak.


Beliau berkata, peruntukan untuk Sabah dan Sarawak telah dikurangkan meskipun kedua-dua negeri ini ketinggalan dari pelbagai segi dan memerlukan tambahan peruntukan untuk pembangunan negeri.


"Belanjawan kali ini memperuntukkan RM5.1 bilion untuk Sabah dan RM4.5 bilion untuk Sarawak.


"Namun peruntukan perbelanjaan pembangunan khusus untuk Sarawak telah menurun dari 7.8 peratus pada 2020 kepada 6.5 peratus pada 2021. Sabah juga menurun dari 9.3 peratus kepada 7.4 peratus.


"Adakah peruntukan ini mencukupi untuk merapatkan jurang antara wilayah yang makin melebar?" soalnya ketika perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.


Larry turut mendedahkan bahawa Sabah dan Sarawak ketika menghadapi masalah jurang kemiskinan yang tinggi dan kekurangan kemudahan klinik dan pusat kesihatan.


"Mengikut Indeks Kemiskinan 2019, Sabah di tempat pertama iaitu 19.5 peratus manakala Sarawak di tempat ketiga dengan 9 peratus.


"Dari sudut kesihatan, nisbah klinik kesihatan berbanding penduduk pada 2018 adalah 1: 13,129 untuk Sabah 1:11,682 untuk Sarawak.


"Ini bermakna nisbah Sabah dan Sarawak lebih dari dua kali ganda tinggi berbanding Pahang yang mempunyai nisbah terbaik negara iaitu 1:5,048 penduduk.


"Pada 2019, sebanyak 15.5 peratus isi rumah Sabah dan 8.4 peratus isi rumah Sarawak berada lebih dari 9 kilometer dari pusat kesihatan awam dan swasta, ini peratusan tertinggi di Malaysia," katanya.


Larry juga memberi contoh bahawa kawasannya Julau tidak mempunyai stesen minyak dan balai bomba.


"Dari segi infrastruktur asas, Sabah dan sarawak serba ketinggalan, sebagai contoh kawasan saya Julau yang sebesar gabungan Perlis dan Melaka tidak mempunyai sebuah stesen minyak dan balai bomba.


"Sepanjang 2018 hingga 2020, sudah 4 kebakaran berlaku iaitu 3 rumah panjang dan sebuah asrama sekolah, jadi saya memohon supaya pembinaan balai bomba kategori E diberi keutamaan dan dimasukkan dalam senarai untuk 2021," katanya.


Telekomunikasi di Sarawak


Larry menggesa kerajaan supaya menaik taraf infrastruktur telekomunikasi di Sarawak dengan segera yang menjadi antara masalah utama di negeri itu untuk sekian lama.


"Kerajaan merancang untuk merapatkan jurang digital dan infrastruktur telekomunikasi menerusi program Jaringan Prihatin dan inisiatif Jaringan Negara dan saya sokong penuh perkara ini namun ianya harus disegerakan.


"Di kawasan saya ada 6 menara telekomunikasi tetapi hanya ada 2G dan 3G, tiada liputan 4G. Saya pernah lihat bagaimana seorang penduduk di rumah panjang mengangkat telefonnya dan menarik ke atas siling hanya untuk dapatkan liputan internet, ada perkhidmatan telefon tetapi tiada liputan internet, ada perkhidmatan internet tetapi tiada liputan di rumah pula.


"Inilah sebabnya penduduk di kawasan saya terpaksa mendaki bukit, masuk dalam hutan, dan duduk ditepi jalan hanya untuk dapatkan liputan internet.


"Kerajaan sebelum ini melaporkan bahawa sebanyak 2,041 menara telekomunikasi sedia di naik taraf kepada 4G, jadi saya memohon usaha ini diberikan keutamaan dan disegerakan.


"Liputan internet teramatlah penting ketika kita semua hadapi norma baharu, saya harap kerajaan merapatkan jurang digital dan isu infrastruktur telekomunikasi diberi perhatian khusus dan disegerakan terutama sekali di kawasan luar bandar dan pedalaman," katanya.


Larry juga enggan memberi jaminan bahawa beliau akan memberikan sokongan kepada Belanjawan 2021 selagi kerajaan tidak membuat pindaan yang sewajarnya.


"Tanpa peruntukan mencukupi, kami tidak akan dapat membantu rakyat.


"Menghadapi 'unprecedented crisis' memerlukan 'unprecedented response' dan 'extraordinary measures'.


"Pendekatan 'business as usual' Belanjawan 2021 ini tidak mencerminkan ianya Belanjawan Covid-19 dan negara sedang berhadapan 'unprecedented crisis'.


"Janganlah kita mensia-siakan pengorbanan 'frontliners' negara dengan mengambil pendekatan sebegini.


"Saya hanya akan menyokong Belanjawan ini jika semua cadangan diberikan perhatian dan diberi pertimbangan serius," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
19198
292
20980
Total
1,979,698
20,711
1,721,710

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
349,788
5,246
372,363
Total
225,423,690
4,643,538
200,274,221

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER