Belanjawan 2021: Mesti wujud perbincangan dwiparti untuk kelulusan bersama



Belanjawan 2021 akan lebih mudah diluluskan sekiranya pihak Kerajaan Perikatan Nasional membincangkan terlebih dahulu peruntukan-peruntukan di dalam dokumen berkenaan sebelum dibentang di Parlimen.


Bagi Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, sekiranya pihak kerajaan mengikut nasihat Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa proses belanjawan perlu 'mengambil pendekatan dwiparti dalam menyusun strategi menghadapi wabak Covid-19 dan isu pengangguran serta kemiskinan' maka tidak mustahil ia akan diluluskan dengan mudah.


"Seperti yang dititahkan oleh Raja-raja Melayu baru-baru ini, ahli-ahli politik di negara kita mesti bekerjasama untuk menghadapi pandemik kali ini dan mengelakkan penyalahgunaan kuasa.


"Ahli politik Malaysia mesti bersedia bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan belanjawan diluluskan, dengan syarat semua pihak, termasuk Pembangkang, akan diberi ruang menyatakan pandangan dan dijelaskan hal-hal penting secara menyeluruh.


"Tidak ada pihak yang boleh menjadi 'pak turut' dalam belanjawan kali ini - ia akan menutupi tujuan sebenar langkah dwiparti diambil.

Pembaharuan besar dan realistik mesti dilakukan untuk mengembalikan keyakinan setelah apa yang dilalui negara.


"Proses kelulusan belanjawan tidak boleh dilakukan secara melulu, walaupun dalam keadaan krisis Covid-19. Belanjawan yang dibentangkan akan gagal sekiranya tidak dipantau oleh penggubal undang-undang atau tiada input dwiparti yang benar-benar bermakna," katanya dalam satu kenyataan.


Sebaliknya, Nik Nazmi memberi amaran Belanjawan 2021 tidak boleh dilakukan untuk tujuan politik atau menaungi sesiapa. Setiap sen yang dicadangkan, katanya, mestilah untuk kemaslahatan umum, termasuk kesihatan, pendidikan, perumahan dan kesejahteraan rakyat.


Menurutnya, satu-satunya cara bagi Malaysia untuk mendapatkan belanjawan terbaik adalah dengan kerajaan semasa komited dalam reformasi Parlimen.


"Ini bukan sahaja untuk memungkinkan semua anggota Parlimen membahaskan isu-isu kritikal, tetapi turut dapat bertindak mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen yang dimansuhkan, dan menghidupkan kembali Jawatankuasa-Jawatankuasa Terpilih yang sebelumnya telah ditubuhkan.


"Akta Perkhidmatan Parlimen penting kerana Pakatan Harapan di ambang memperkenalkannya semula. Parlimen yang lebih bebas, cekap dan kuat akan dapat memberi kebaikan kepada rakyat dan kehidupan mereka.


"Menangani ancaman Covid-19 dan memulihkan ekonomi tidak boleh berlaku tanpa reformasi politik dan institusi. Belanjawan 2021 tidak akan berjaya tanpanya," kata Nik Nazmi lagi.


Menurut Jurucakap Parlimen KEADILAN bagi Pendidikan itu, banyak isu ekonomi boleh dibahaskan dalam pembentangan belanjawan kali ini termasuk membincangkan masalah-masalah asas yang dihadapi oleh ekonomi negara tetapi kerap dipandang ringan.


Hal itu termasuk cabaran lama seperti membebaskan negara dari terlalu bergantung pada komoditi, isu tenaga kerja asing, meningkatkan kemahiran pekerja dan meningkatkan gaji dan produktiviti, serta isu baru seperti ancaman keselamatan serantau.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio