Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak perlu membuat kenyataan mengugut pembangkang untuk mendapatkan sokongan meluluskan Belanjawan 2021, yang dibentangkannya pada 6 November lalu.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenyataan Tengku Zafrul andainya belanjawan tidak lulus maka gaji penjawat awam akan terjejas tidak perlu dikeluarkan dan disifatkan sebagai tidak demokratik.
"Menteri Kewangan membayangkan jika Belanjawan 2021 yang dibentang kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak diluluskan, maka ia tidak akan dapat membayar segala komitmen termasuk gaji penjawat awam dan akan mengesankan para petugas barisan hadapan yang berjuang memerangi Covid-19.
"Saya fikir ini satu kenyataan yang bersifat hambar dan berbaur ugutan serta sebahagian dari rencana untuk mengenepikan suara majoriti Ahli Parlimen.
"Saya yakin kita (pembangkang) mampu mengemukakan belanjawan atau pindaan yang lebih baik untuk kepentingan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Anwar, Pakatan Harapan (PH) kekal dengan pendirian sebelum ini iaitu menyokong peruntukan untuk membayar gaji kakitangan awam, pencen dan operasi kerajaan.
Cuma, katanya, peruntukan yang tidak wajar dan tidak jelas keperluannya perlu dipinda agar dipindahkan ke dalam perbelanjaan melawan pandemik Covid 19 yang semakin kritikal.
"Seperti mana yang saya tegaskan tatkala membahaskan belanjawan di Parlimen, soal emolumen penjawat awam, perbelanjaan mengurus dan utamanya perbelanjaan untuk barisan hadapan serta kelengkapan perubatan dan kesihatan tetap dipertahankan.
"Saya ulangi gesaan agar kerajaan teliti semula Belanjawan 2021. Pembangkang hanya mendukung (belanjawan) sekiranya ia benar-benar belanjawan untuk memerangi Covid-19," katanya.
Di antara peruntukan yang diminta oleh pembangkang untuk dipinda termasukkan RM85 juta bagi mewujudkan semula JASA yang dilihat hanya sebagai 'alat politik' kerajaan PN dan tidak membantu rakyat secara umum serta perkara bersangkutan moratorium dan lebih banyak bantuan bersasar kepada rakyat dalam menghadapi kemuraman ekonomi.
Commentaires