Inisiatif menjana dan mengekalkan peluang pekerjaan dikritik oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.
Ahli Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Port Dickson) berkata inisiatif tersebut perlu diteliti dengan lebih cermat dari segi pelaksanaan dalam Belanjawan 2022 kerana pengalaman pada tahun lalu inisiatif tidak mencapai matlamatnya.
"Sekali lagi unjuran itu tidak tepat bila kita bandingkan dengan tahun 2021, skim jaminan pekerjaan. 500,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan RM3.7 bilion.
"Kita nak tahu jumlah pekerjaan yang dapat ditambah tahun lalu, termasuk pembentukan Majlis Kerja Negara yang dipengerusikan oleh PM. Tetapi kadar pengangguran bagi Ogos 2020, 4.7% manakala Ogos 2021, 4.6%.
"Setelah RM3.7 bilion (dibelanjakan) kita hanya dapat mengurangkan kadar pengangguran 0.1%. Untuk kali ini unjurannya 600,000 peluang pekerjaan.
"Kita nak jawab dulu berapa kejayaan tahun lalu dan peruntukan RM4.8 bilion serta inisiatif Perkeso RM2 bilion. Jadi saya minta bukan sahaja pengumuman tetapi keberkesanan itu. Bunyinya lunak tetapi pelaksanaannya apakah bertepatan apa yang disebut," katanya dalam perbahasan Belanjawan 2022 pada sesi pagi Dewan Rakyat.
Selain itu, beliau juga membangkitkan kadar upah yang masih rendah tidak sesuai dengan taraf hidup hari ini yang amat tinggi.
"Graduan mengeluh pekerjaan terbatas tetapi yang memperoleh pekerjaan pun gaji tidak meningkat. Kalau dikaji ketimbang inflasi gaji sangat rendah. Tidak ada kenaikan setelah 10 - 20 tahun lalu.
"Sebab itu ada desakan gaji minima kerana produktiviti meningkat tetapi kadar upah masih rendah. Cuba Kementerian Kewangan dan Sumber Manusia kaji syarikat yang mencatat keuntungan berbilion. Apakah catatan keuntungan berbilion itu ada sedikit pulangan kepada golongan pekerja? Maknanya produktivi milik syarikat tetapi kadar upah pekerja masih di tahap lama
"Saya sebut gaji permulaan individu bujang (kelulusan) SPM, RM1200 jauh lebih rendah dari gaji minima. Diploma 1500 - RM1800, belum sampai.
"Ijazah sarjana muda masih di tahap RM2,000 - RM3,000. Sebab itu saya sebut tadi selepas menyesuaikan diri dengan inflasi gaji permulaan bulanan sebenar graduan baharu menurun sejak 2010.
"Penurunan itu agak ketara. Ini kita lihat dalam laporan tahunan Bank Negara sejak 2018. Ini dikhuatiri menimbulkan masalah," katanya.
Anwar juga menyentuh keadaan kewangan yang terbatas bagi golongan pekerja yang berkeluarga yang tidak mampu memperbaiki taraf hidup kerana wang habis dibelanjakan untuk makanan, sewa rumah dan kenderaan.
"Sekarang Menteri Kewangan tambah indeks tuala wanita, ini inisiatif yang baik menggambarkan tahap keparahan kemiskinan, termasuk bagi yang mempunyai pekerjaan. Gaji RM2,000 anak lima tinggal di Kuala Lumpur terpaksa ada bantuan tuala wanita," katanya lagi.
Comments