Bela kaum India: Pihak kritik Ramanan terperangkap dalam politik lama - Dr Gunaraj
- Suara Keadilan

- Sep 24
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Kritikan dilemparkan terhadap Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan hanya menggambarkan masih wujud segelintir pihak terperangkap dalam politik lama tanpa menawarkan penyelesaian.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Dr Gunaraj George (gambar) berkata, Ramanan yang juga diberi mandat menjaga hal ehwal komuniti India telah membuktikan komitmennya dengan turun ke lapangan, mendengar keluhan masyarakat dan membawa suara rakyat ke meja kepimpinan.
"Hakikatnya, apa yang dibawa oleh Datuk Seri Ramanan ialah aspirasi rakyat di akar umbi. Rakyat mahukan hasil kerja, bukan sekadar debat kosong di media," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Gunaraj yang juga Ahli Dewan Negeri Sentosa, Selangor berkata pelbagai inisiatif telah digerakkan Ramanan di bawah kementerian termasuk peluasan Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan SPUMI Goes Big melalui TEKUN Nasional.
Selain itu, beliau berkata kerajaan juga memperkenalkan Prosperity, Empowerment and a New Normal for Indian Women (PENN) iaitu program khusus pemberdayaan ekonomi wanita India melalui Amanah Ikhtiar Malaysia serta skim pembiayaan khas Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i)
Beliau berkata SME Corp turut melancarkan India Business Accelerator Programme (I-BAP) dengan peruntukan geran pembangunan RM6 juta manakala Suruhanjaya Koperasi Malaysia memperkenalkan Geran Bakti MADANI, kali pertama dalam tempoh 100 tahun koperasi komuniti India menerima geran seumpamanya.
"Melalui hasil usaha ini, lebih 30,000 usahawan India telah berjaya diperkasakan sejak beliau (Ramanan) dilantik. Ini bukti jelas bahawa kerajaan MADANI tidak sekadar berjanji tetapi bertindak melalui dasar dan inisiatif yang memberi manfaat terus kepada rakyat," katanya.
Gunaraj berkata berdasarkan rekod pencapaian berkenaan, Ramanan wajar terus diberi ruang dan keyakinan untuk melaksanakan agenda pembangunan rakyat.
"Malah kita menantikan hari di mana beliau diberi kepercayaan sebagai menteri penuh supaya lebih banyak program berpaksikan rakyat dapat direalisasikan," ujarnya.









Comments