top of page

Bekas PM Ismail Sabri disiasat suspek kes wang tunai RM170 juta

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Mar 3
  • 2 min read


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menganggap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismai Sabri Yaakob sebagai salah seorang suspek susulan penemuan wang tunai sejumlah RM170 juta dalam sebuah "rumah selamat" di ibu negara baru-baru ini.


Wang tunai dengan pelbagai mata wang serta jongkong emas itu disimpan di sebuah kondominium di ibu negara oleh pembantu Ismail Sabri.


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pada waktu ini pihaknya telah meminta bekas perdana menteri ke-9 itu melakukan perincian harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM.


"Penemuan wang tunai berjumlah RM170 juta dalam 'safehouse' itu mengesahkan Ahli Parlimen Bera sebagai seorang suspek.


"...beliau sudah diminta memperincikan harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM (pengisytiharan harta).


"(Yang) kedua apabila penemuan wang ini dan beliau antara yang dikaitkan, maka kita perlu mendapatkan penjelasan daripadanya mengenai penemuan wang itu," katanya dipetik Malaysia Gazette dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.


Azam berkata, Ismail Sabri disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia.


Beliau disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.


Pada sidang akhbar itu, SPRM mempamerkan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.


"Selain Ringgit Malaysia, wang tunai ini antaranya melibatkan mata wang antarabangsa Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss France dan Yuan.


"Siasatan SPRM mendapati 'safe house' di Kuala Lumpur itu disewa oleh seseorang dan mungkin salah seorang daripada empat suspek yang ditangkap sebelum ini," ujar Azam.


Beliau menjelaskan bahawa tidak ada mana-mana pihak mengarahkan siasatan dilakukan terhadap Ismail Sabri sebaliknya ia dilakukan hasil maklumat yang diterima SPRM.


"Kami menyiasat secara profesional dan adil, tanpa melihat sebarang darjat atau kedudukan.


"Tiada arahan daripada sesiapa. Kami bertindak sendiri, berdasarkan kepada maklumat dan aduan yang kami terima," katanya.


Azam berkata, pihaknya akan secara teliti menyiasat kes tersebut serta sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dan mendapat manfaat.


"Berhubung perkara ini, bukan sahaja setakat projek berkenaan (Keluarga Malaysia) tetapi juga sesiapa sahaja yang mendapat manfaat," katanya.


Beliau menyatakan Ismail Sabri akan dipanggil semula oleh SPRM pada Rabu ini untuk diambil keterangan lanjut.


"Beliau sudah dipanggil pada 11 Februari lalu dan diambil keterangan oleh pegawai penyiasat antara empat ke lima jam.


"Sehari sebelum itu, beliau sudah menyerahkan pengisytiharan harta," katanya.


Sebelum ini, media tempatan melaporkan dua individu bergelar Datuk adalah antara empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri, ditahan SPRM bagi membantu siasatan lanjut berhubung beberapa kes yang dikaitkan dengan rasuah ketika era pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri.


Tiga individu kemudian direman lima hari bermula 21 Februari, manakala seorang lagi direman tiga hari untuk disiasat di bawah Seksyen 16a Akta SPRM 2009.

Comentarios


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page