Bekas KSU Kementerian Luar dilantik Duta Besar Malaysia ke AS
- Suara Keadilan
- Jun 3
- 1 min read

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menyempurnakan Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) di Istana Negara.
Dalam hantaran dimuat naik di Facebook, baginda berkenan mengurniakan surat cara pelantikan itu kepada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.
Turut hadir Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Pelantikan Muhammad Shahrul Ikram itu menamatkan spekulasi tentang siapakah yang bakal dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke AS menggantikan Tan Sri Mohamed Nazri Aziz yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 8 Februari lalu.
Shahrul yang berasal dari Pahang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Ekologi dari Universiti Malaya serta pernah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, AS, demikian menurut Wisma Putra dalam kenyataan.
Beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai tadbir dan diplomatik di Kementerian Luar pada 1988 dan menjawat jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Luar dari 6 Januari 2019 hingga 31 Mei 2022.
Sepanjang perkhidmatan selama kira-kira 35 tahun, Shahrul pernah ditauliahkan sebagai duta besar Malaysia ke Qatar, Austria dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Semasa berkhidmat di Kementerian Luar, beliau pernah dilantik sebagai timbalan ketua setiausaha hubungan dua hala, ketua pengarah sekretariat kebangsaan ASEAN-Malaysia (2015) dan setiausaha bahagian politik pelbagai hala.
Penugasan diplomatik beliau yang lain sebelum ini adalah termasuk di perwakilan Malaysia di Vienna, Austria; Washington D.C. dan Beijing, China.
Comentarios