Bekas Ketua Hakim Negara ketuai Jawatankuasa Khas kompetensi undang-undang Islam
- Suara Keadilan
- Dec 6, 2023
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Kerajaan mengumumkan pelantikan 11 anggota Jawatankuasa Khas bagi mengkaji keupayaan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menggubal undang-undang Islam yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Datuk Seri Zaki Tun Azmi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Na'im Mokhtar berkata penubuhan jawatankuasa khas itu bagi menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-70 (MKI) pada 28 Ogos lalu.
"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar bin Ibrahim juga telah memaklumkan Jemaah Menteri mengenai titah Sultan Selangor tersebut dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Ogos lalu.
"Jawatankuasa Khas ini bertanggungjawab untuk mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi DUN dalam penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan semalam.
Mohd Na'im berkata penubuhan Jawatankuasa Khas ini merupakan salah satu usaha dan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan isu konflik bidang kuasa antara Persekutuan dengan negeri demi memartabat dan memperkasa perundangan syariah dan sistem kehakiman syariah di negara ini.
"Kerajaan telah bersetuju untuk melantik individu yang mempunyai kredibiliti serta mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang perundangan untuk menganggotai Jawatankuasa Khas ini," katanya.
Selain Zaki, Jawatankuasa Khas tersebut dianggotai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohd. Zawawi Salleh, Ahli Majlis Agama Islam Selangor Datuk Setia Salehuddin Saidin, Ketua Hakim Syarie Melaka Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman, Datuk Anas Ahmad Zakie (Ketua Bahagian, Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara); Shamsul Bolhassan (Timbalan Ketua Bahagian Guaman I, Jabatan Peguam Negara) dan Prof Dr Farid Sufian Shuaib (Dekan/Profesor, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Turut dilantik Profesor Madya Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, UIAM Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Hashim @ Wan Husain, Azirul Liza Abdullah (Ketua Unit I, Unit Penyelidikan Perlembagaan, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Peguam Negara), Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang dan peguambela dan penguamcara Dr. Zulqarnain Lukman.
Mohd Na'im memberitahu Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan kepada pengerusi dan anggota Jawatankuasa Khas serta mesyuarat pertamanya diadakan diadakan di Kompleks Islam Putrajaya semalam.
Katanya mesyuarat pertama itu telah membincangkan Terma Rujukan Jawatankuasa Khas serta merangka hala tuju dalam melaksanakan kajian berhubung dengan isu konflik bidang kuasa ini.
"Saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Jawatankuasa Khas ini untuk memberikan sumbang saran dan pandangan yang bernas dan bermanfaat dalam setiap mesyuarat Jawatankuasa Khas ini nanti dalam usaha mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan harmoni bagi menyelesaikan isu konflik bidang kuasa ini daripada berterusan.
"Marilah kita sama-sama berdoa agar usaha kita akan memberi kebaikan kepada generasi kita pada hari esok dan undang-undang syariah terus dimartabatkan malah kedudukannya terus dipertingkatkan pada masa akan datang," katanya.
Commentaires