top of page

Bekalan terjamin, kawalan harga telur tamat, subsidi dikurangkan 50%

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 30
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Mohd Foad


Kerajaan memutuskan kawalan harga telur ayam ditamatkan dengan kadar subsidi telur ayam dikurangkan sebanyak 50 peratus berkuat kuasa 1 Mei ini selaras dengan penyasaran semula subsidi secara berfasa.


Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam kenyataan berkata kadar subsidi telur dikurangkan dari 10 sen kepada 5 sen sebiji bagi tempoh tiga bulan dengan bantuan sepenuhnya ditamatkan pada 1 Ogos ini.


"Keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang cukup dan terjamin berikutan kos pengeluaran yang telah stabil.


"Ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri di mana ketersediaan bekalan adalah mencukupi dengan harga yang kompetitif," kata kenyataan itu.


Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi menampung peningkatan kos pengeluaran berikutan pandemik COVID-19 serta kesan peperangan Ukraine dan Rusia ke atas harga import soya dan jagung bijian.


Kenyataan itu berkata, keputusan tersebut dibuat setelah kerajaan mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian

subsidi terlalu lama merupakan sesuatu yang tidak mampan kepada kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara.


"Langkah penyasaran semula subsidi adalah lebih adil memandangkan ketika ini, subsidi turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.


"Hasil penjimatan daripada peruntukan tersebut kelak boleh digunakan untuk pembiayaan projek-projek tertentu untuk kesejahteraan rakyat," ujarnya.


Dalam pada itu, bagi meminimumkan impak ke atas kos sara hidup, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan melaksanakan langkah-langkah intervensi antaranya

memperkenalkan telur gred khas pada harga yang munasabah.


"Rakyat boleh mendapatkan bekalan telur pada harga yang lebih kompetitif melalui inisiatif Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah di seluruh negara termasuk di semua outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).


"KPDN akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan melalui pemantauan berterusan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page