top of page

Bekalan telur mencukupi, pengurangan subsidi tidak jejas pengeluaran

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 14
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Mohd Foad


Bekalan telur ayam di pasaran kekal stabil dan mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat dengan keupayaan sistem pengeluaran tempatan semakin mampan, demikian menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.


Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perkara itu dapat dicapai meskipun kadar subsidi bahan makanan itu telah dikurangkan sebanyak lima sen sejak 1 Mei.


"Situasi itu membuktikan langkah pengurangan subsidi tersebut tidak menjejaskan bekalan telur ayam.


"Malah menunjukkan keupayaan sistem pengeluaran tempatan yang semakin mampan dan berdaya tahan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.


Kerajaan sebelum ini mengumumkan kawalan harga telur ayam akan ditamatkan dengan kadar subsidi dikurangkan daripada 10 sen kepada lima sen sebiji berkuat kuasa 1 Mei 2025, sebelum dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos ini.


Kementerian berkenaan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin.


Keputusan itu turut mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama adalah tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan dan kewangan negara.


Langkah penyasaran semula subsidi telur itu, sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan penggunaan dana subsidi yang lebih berkesan serta menggalakkan pengeluaran makanan tempatan yang mampan.


Menurut data Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi berkaitan, subsidi telur (kategori Gred A, B, dan C) menelan belanja kira-kira RM927 juta setahun (2022–2023).


Ini merupakan sebahagian besar daripada subsidi makanan keseluruhan yang mencecah lebih RM3 bilion, termasuk ayam, telur, minyak masak dan beras.


Memandangkan subsidi secara pukal adalah tidak mampan untuk jangka masa panjang, kerajaan menggantikannya dengan pendekatan "subsidi bersasar".


Kini fokus kerajaan ialah meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, memberi bantuan terus kepada golongan berpendapatan rendah dan meningkatkan pelaburan dalam pengeluaran telur tempatan berasaskan teknologi.


Laporan media tempatan menyatakan harga telur di pasaran stabil dengan tiada kenaikan besar yang mendadak dengan purata telur gred C (30 biji) sekitar RM10.59 sepapan secara nasional untuk minggu 13 Julai 2025.


Di Johor Bahru, telur gred B berharga antara RM10.49–RM12.00 sesapan 30 biji .


Di Kuala Lumpur, tinjauan Bernama melaporkan Gred A: RM12.30/papan,Gred B (RM9.30), Gred C (RM9.00) dan Gred D (RM8.10).

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page