Bekalan bahan api kukuh hingga akhir 2026, eksport LNG benteng ketahanan tenaga negara – MTEN


Di sebalik tekanan geopolitik dunia, bekalan petroleum dan bahan api domestik kekal kukuh sehingga akhir 2026 hasil strategi proaktif Kerajaan MADANI.
Malah kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih gas asli cecair (LNG) menjadi antara benteng utama ketahanan tenaga negara, kata Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
"Jaminan kecukupan bekalan di seluruh negara dilaksanakan bersama PETRONAS bagi memastikan bekalan petrol dan diesel terus tersedia serta disalurkan secara konsisten ke stesen minyak sehingga akhir tahun," kata MTEN dalam hantaran infografik yang dikongsi melalui Facebook.
Sebelum ini laporan memetik Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Nurhisyam Hussein berkata PETRONAS yakin bekalan tenaga negara mencukupi sehingga penghujung tahun sekali gus memberi jaminan kepada pengguna ketika pasaran tenaga global berdepan ketidaktentuan.
MTEN berkata langkah berkenaan turut mengambil kira keperluan mengelakkan ketirisan bahan api negara ketika tekanan terhadap rantaian bekalan tenaga global semakin meningkat.
Menurutnya, status Malaysia sebagai pengeksport bersih LNG memberikan kelebihan strategik dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran tenaga antarabangsa khususnya ketika beberapa negara berdepan tekanan mendapatkan bekalan.
Dalam pada itu, data perdagangan dikeluarkan Kementerian Ekonomi menunjukkan sehingga Julai, nilai eksport komoditi tenaga negara mencecah RM15.16 bilion manakala import berjumlah RM16.77 bilion sekali gus menghasilkan imbangan dagangan negatif sebanyak RM1.61 bilion.
Bagi LNG, eksport Malaysia direkodkan sebanyak RM5.08 bilion berbanding import hanya RM805.2 juta, menunjukkan nilai eksport yang jauh lebih tinggi berbanding import bagi komoditi berkenaan.
Sementara itu, eksport minyak mentah bernilai RM393 juta manakala import mencecah RM3.13 bilion, menggambarkan Malaysia masih bergantung kepada sumber luar bagi memenuhi sebahagian keperluan minyak mentah negara.
Dalam masa sama, penyelarasan berterusan antara kerajaan, PETRONAS dan pemain industri menjadi asas kepada usaha memastikan bekalan bahan api domestik tidak terjejas akibat perkembangan geopolitik atau perubahan mendadak dalam pasaran tenaga dunia.
MTEN turut memberi jaminan bahawa rakyat tidak perlu bimbang mengenai bekalan petrol dan diesel kerana bekalan terus disalurkan secara konsisten ke stesen minyak di seluruh negara.
Kerajaan juga terus memberi perhatian kepada usaha mencegah ketirisan bahan api bagi memastikan bekalan yang diperoleh negara digunakan untuk memenuhi keperluan domestik dan tidak disalahgunakan.
Perkembangan bekalan tenaga negara termasuk data berkaitan minyak mentah, LNG dan petroleum boleh dipantau menerusi portal https://pantaukrisis.gov.my/




Comments