Sektor perindustrian berkembang pesat di Semenanjung Malaysia namun tidak di Malaysia Timur, khususnya Sabah.
Ahli Parlimen Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (PH - Tuaran) bertanya kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Azmin Ali, berkenaan galakan pelaburan di Sabah yang seharusnya lebih banyak diberikan oleh Kerajaan Pusat.
"Saya ingin bertanya kepada YB mengenai taman perindustrian di Sabah seperti Lahad Datu, Kota Kinabalu dan Sipitang. Lebih menarik sekiranya beberapa kekangan dapat diatasi, antaranya kekangan bekalan air. Sumber bekalan air yang begitu teruk di sekitar Kota Kinabalu dan juga di Lahad Datu.
"Di Lahad Datu masa tertentu air terpaksa dihantar dengan lori. Kemudian dari segi pelabuhan kita menghadapi masalah isu insfrastruktur.
"Juga di Kota Kinabalu perlu diperluaskan. Ada peruntukan dari Persekutuan tetapi belum lagi dilaksanakan untuk infrastruktur. Juga peruntukan dari Kerajaan Persekutuan semuanya didapat dalam bentuk pinjaman, walaupun sekecil RM1 juta, RM300,000 sekali pun, semua bentuk pinjaman.
"Adakah YB akan mengambil tindakan supaya diatasi dan lebih menarik pelaburan," katanya dalam perbahasan sesi pagi Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Azmin menjawab beliau akan membentangkan jawapan khusus untuk sektor pelaburan berkenaan dalam sesi penggulungan.
"Saya ada topik khusus dalam penggulungan sebentar lagi," katanya.
Comments