Beberapa cawangan Bersatu DUN Seri Medan nyata sokongan kepada calon PH
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 1 min read

Keterampilan dan hubungan baik dengan masyarakat setempat menjadi antara faktor utama yang mendorong sekumpulan ahli Bersatu di Dewan Undangan Negeri (DUN) N18 Seri Medan, tampil dengan pendirian mengejutkan apabila menzahirkan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) daripada KEADILAN, Cikgu Hishamuddin @ Misrin Ishak.
Menurut Saudara Rusli yang mengetuai kumpulan tersebut, beliau mengenali Cikgu Hishamuddin sejak kedua-duanya sama-sama memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di DUN Seri Medan ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 pada 2018.
"Pentadbiran yang harmoni ketika Bersatu bersama-sama KEADILAN dalam PH sebelum ini (berubah) menjadi kucar-kacir pada era pentadbiran Perikatan Nasional (PN), apabila jawatan-jawatan berkenaan mula menjadi rebutan dalam kalangan penyokong Pas dan UMNO.
"Keadaan yang kelam-kabut itu membuatkan saya dan rakan-rakan berpandangan hanya PH yang layak diberi peluang untuk mentadbir Johor dan bekerjasama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar di peringkat Persekutuan," kata satu kenyataan yang dikeluarkan memetik Saudara Rusli.
Cikgu Hishamuddin yang merupakan Ketua Cabang KEADILAN Parit Sulong dan pesara guru yang pernah menabur bakti di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Medan, kini didakwa menerima sokongan daripada 10 cawangan Bersatu DUN Seri Medan.
Pada PRN Johor 11 Julai ini, Hishamuddin bakal berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi DUN Seri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Ahmad Rosdi Bahari yang mewakili Perikatan Nasional (PN).




Comments