Bebas tertuduh kes rasuah ancam masa hadapan ekonomi Malaysia
- Redzuan Shamsudin
- Dec 14, 2020
- 1 min read

Laporan media baru-baru ini bahawa agensi kewangan antarabangsa Credit Suisse Malaysia menganggap keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) ke atas bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor bakal memberi nama buruk kepada urustadbir negara dan menjatuhkan penarafan kewangan, ada kebenarannya.
Menurut Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, apabila tertuduh dibebaskan dari tuduhan menerima rasuah tetapi pemberi rasuah sebelumnya telah mengaku bersalah di mahkamah, maka pelabur luar akan melihat ada kepincangan dalam sistem perundangan negara yang menakutkan mereka untuk menanam modal.
"Keputusan ini memang pelik dari segi undang-undang dan ia tidak masuk akal langsung.
"Bekas menteri itu, Tengku Adnan sendiri telah melakukan rasuah sebanyak RM1 juta tetapi undang-undang di bawah pentadbiran kerajaan hari ini boleh melepaskannya.
"Ini satu keputusan yang sangat merisaukan orang ramai, dan apabila syarikat kewangan sendiri melihat bahawa penarafan ekonomi akan turun, maka ia jelas akan memberi impak kepada pelabur asing (yang mungkin) tidak akan melabur di negara kita," katanya.
Kata William, pelabur akan melihat keputusan itu sebagai isyarat bahawa pihak kerajaan yang korup tidak akan didapati bersalah dan urusan 'bawah meja' tidak akan mendatangkan masalah kepada mereka.
Maka urusan untuk menjalankan perniagaan di negara ini 'tinggi' kosnya berbanding negara jiran yang tegas melawan rasuah.
"Mereka akan nampak bahawa undang-undang (terhadap) mereka yang didakwa melakukan rasuah tidak terpakai di bawah pentadbiran sekarang," kata William lagi.
Kekurangan pelaburan langsung asing (FDI) akan menjejaskan pemulihan ekonomi Malaysia yang terjejas teruk dan meleset di bawah - 5% KDNK pada 2020.
Bagaimanapun sekiranya pelabur asing takut untuk masuk, ekonomi mungkin sukar untuk dipulihkan dalam masa terdekat.
Comments