top of page

Bebas segera sukarelawan ditahan, Malaysia tidak akan berdiam diri - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 2
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan berdiam diri terhadap kezaliman rejim Israel, sebaliknya akan terus menuntut pembebasan segera sukarelawan negara dalam Global Sumud Flotilla yang ditahan Israel awal pagi ini.


Menurut beliau, sehingga petang ini, beliau telah berhubung dengan Presiden Türkiye, Presiden Mesir dan Perdana Menteri Qatar bagi mendapatkan sokongan mendesak pembebasan rakyat Malaysia berkenaan.


Selain itu, Anwar turut mengesahkan beliau berkomunikasi dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat bagi menuntut campur tangan segera tanpa sebarang kelewatan.


"Sekali lagi saya tegaskan, kezaliman yang dilakukan rejim Israel mesti dihentikan serta-merta. Malaysia tidak akan berdiam diri apabila hak dan maruah rakyat kita diinjak," katanya dalam hantaran di X.

DS Anwar memaklumkan beliau telah menghubungi beberapa pemimpin dunia petang ini
DS Anwar memaklumkan beliau telah menghubungi beberapa pemimpin dunia petang ini

Perdana Menteri turut menzahirkan doa agar semua sukarelawan yang ditahan dibebaskan dalam waktu terdekat serta berharap bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza dapat disalurkan tanpa sebarang sekatan.


Sementara itu, menurut Sumud Nusantara Control Centre (SNCC), seramai 201 daripada 497 peserta Global Sumud Flotilla dipercayai telah ditahan Israel selepas beberapa kapal misi bantuan tersebut diiring ke pelabuhan Ashdot milik Israel.


Daripada jumlah itu, 12 rakyat Malaysia disahkan telah ditahan.


Mereka termasuklah aktivis Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah Helmi yang menaiki kapal Hio, artis Nur Fazelah Mad Tahil atau Zizi Kirana di kapal Huga, serta beberapa lagi aktivis lain antaranya Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin dan Rusydi Ramli di kapal Sirius.


Turut ditahan ialah Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil di kapal Alma, serta Norfarahin Romli atau Farah Lee dan Danish Nazran Murad yang menaiki kapal Grande Blu.


Sehingga kini, beberapa kapal lain yang membawa rakyat Malaysia juga dilaporkan terputus hubungan selepas diiring keluar dari perairan antarabangsa oleh tentera laut Israel.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page