Beban hutang waktu Covid 19: Ingat derita kerajaan PN 33 bulan
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Serangan ke atas Kerajaan MADANI dilancarkan oleh laskar siber pembangkang dibantu warga net yang tidak memahami fakta krisis global hari ini mewajarkan rakyat melihat kembali pemerintahan Perikatan Nasional (PN) beberapa tahun lalu untuk dijadikan sempadan.
Bagi rakyat yang boleh berfikir tempoh kerajaan PN yang pernah memerintah selama 33 bulan (2020 - 2022) pada era pandemik Covid-19 telah membawa negara ke dalam senario keberhutangan yang tinggi.
Namun, menurut Timbalan Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Muhammad Fikri Abdul Aziz, pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) kemudiannya berjaya menguruskan fiskal negara secara berhemah dan mengurangkan jumlah hutang tersebut secara beransur ansur.
"Perlu difahami bahawa paras hutang negara yang diwarisi oleh Kerajaan Perpaduan adalah kesinambungan daripada dasar fiskal pentadbiran terdahulu, termasuk tempoh 33 bulan pemerintahan PN yang berdepan krisis pandemik Covid-19 serta keperluan perbelanjaan luar jangka.
"Ketika itu, pelbagai pakej rangsangan ekonomi berskala besar telah dilaksanakan bagi melindungi rakyat dan memastikan kelangsungan ekonomi.
"Langkah tersebut walaupun wajar, telah menyumbang kepada peningkatan hutang serta komitmen kewangan negara," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, bukan setakat hutang, kelemahan kerajaan PN tiada tandingnya sehingga rakyat mengibarkan bendera putih kerana kekurangan makanan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan yang amat panjang.
Ujarnya, situasi berkenaan terus membebankan ekonomi rakyat sehingga dua tahun pertama pemeritahan Kerajaan MADANI.
"Situasi tersebut mencerminkan kesan tekanan ekonomi yang berpunca daripada peningkatan kedudukan hutang negara, yang akhirnya terus membebani kos sara hidup serta menjejaskan kesejahteraan rakyat hari ini.
"Sejak mengambil alih pentadbiran, Kerajaan MADANI melalui pendekatan reformasi ekonomi yang dipacu oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Ekonomi telah memperkenalkan langkah konsolidasi fiskal secara berperingkat.
"Sebarang perbandingan hutang antara pentadbiran perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira faktor global, krisis kesihatan awam serta keperluan mendesak pada ketika itu.
"Kesimpulannya, Kerajaan MADANI terus komited memperkukuh kedudukan fiskal negara demi kestabilan jangka panjang serta kesejahteraan rakyat," ujarnya lagi.
Untuk rekod, ketika PN mentadbir negara dari 2020 hingga 2022, pelbagai isu timbul termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 secara berulang kali yang memberi kesan kepada kehidupan dan ekonomi rakyat.
Darurat juga diisytihar oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal Januari 2021 dengan alasan khusus untuk memerangi wabak Covid-19.
Pada waktu ini pemimpin PN, terutama Ketua Penerangan Bersatu cuba menggambarkan pentadbiran PMX lemah dan tidak berjaya mengurangkan hutang berbanding PM Muhyiddin Yassin (2020 - 2021).
Sedangkan pada waktu pentadbiran Muhyiddin, bukan sahaja hutang bertambah malah bekalan makanan juga berkurangan dan harganya melambung tinggi.




Comments