top of page

BBC Kerajaan MADANI diperkukuh sebagai mekanisme semak, imbang Parlimen

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Peranan Ahli Parlimen kerajaan atau backbencher akan terus diperkasakan sebagai komponen penting dalam mekanisme semak dan imbang Parlimen, sejajar dengan agenda pembaharuan institusi yang digerakkan Kerajaan MADANI.


Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) yang baharu, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) berkata, kelab itu akan berfungsi sebagai rakan strategik kepada Kerajaan dalam memastikan setiap urusan dan dasar yang dibentangkan di Parlimen benar-benar berpaksikan kepentingan rakyat.


Beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kepimpinan Kerajaan MADANI atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk memikul amanah sebagai Pengerusi BBC.


Menurutnya, sejurus menerima pelantikan tersebut beliau telah mengadakan kunjung hormat kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Fadillah Yusof yang juga Timbalan Ketua Majlis dan Ketua Whip Kerajaan bagi mendapatkan panduan serta hala tuju peranan BBC dalam mendukung agenda kerajaan di Parlimen.


Dalam perkembangan berkaitan, Zaliha turut menerima serahan tugas Pengerusi BBC daripada Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah yang juga bekas Pengerusi BBC sambil merakamkan penghargaan atas komitmen beliau membina asas kukuh kepada kesinambungan peranan kelab tersebut.


Mengulas hala tuju BBC, beliau berkata kelab itu akan menyalurkan pandangan Ahli-ahli Parlimen Kerajaan secara konstruktif sebagai sebahagian daripada proses semak dan imbang selain memperkukuh komunikasi dalaman serta kefahaman dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan.


"BBC akan terus diperkasakan sebagai wadah yang berfungsi secara matang dan bertanggungjawab bagi memastikan kestabilan politik serta keberkesanan institusi Parlimen sentiasa terpelihara," katanya.


Beliau menegaskan komitmen untuk melaksanakan amanah itu secara kolektif dan berpasukan, berpandukan semangat tanggungjawab bersama demi menjayakan aspirasi Kerajaan MADANI.


"Peranan backbencher bukan sekadar menyokong malah turut memastikan setiap dasar Kerajaan diteliti, diperhalusi dan diperkasakan demi kepentingan rakyat," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page