
Isu parkir di ibu kota Kuala Lumpur tidak pernah selesai biar pun selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memperkenalkan sistem bayaran parkir automatik sedikit masa lalu.
Malah isu tersebut, kata Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai terus menjadi rungutan warga kota sejak kebelakangan ini.
Katanya, warga kota tertanya tanya adakah DBKL mempunyai mekanisme untuk menguatkuasakan tindakan ke atas kereta yang diletak melebihi masa atau sebagainya.
"Kita sedia maklum, DBKL telah melaksana sistem pembayaran parkir automatik di sekitar Kuala Lumpur. Sebelum pandemik bermula, banyak petak parkir telah menggunakan sistem tersebut. Tetapi kita masih belum melihat bagaimana penguatkuasaan dijalankan
"Kita maklum dengan usaha DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan itu, namun mekanisme pelaksanaan masih perlu ditambahbaik. Contohnya di Parlimen Wangsa Maju, terdapat kawasan yang menggunakan sistem automatik ini, tapi bagaimana sistem ini dapat mengesan kenderaan yang parkir lebih masa? Kita lihat banyak kenderaan parkir seharian dan kenderaan lain tidak dapat parkir akibat situasi ini," katanya.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju itu, selain isu parkir lebih masa terdapat juga isu 'cop' parkir atau meletakkan sesuatu objek bagi menghalang kenderaan lain masuk di kawasan parkir yang tidak dapat diselesaikan oleh DBKL.
"Isu ‘cop’ parkir bukan saja berlaku di kawasan perumahan, malah di kawasan pusat perniagaan seperti parkir di lot-lot kedai. Situasi ini menyebabkan ramai pemandu membuat ‘double park’ akibat parkir sedia ada telah ‘dicop’ pekedai dan pemandu lain,” katanya

Pegawai Khas Ahli Parlimen Wangsa Maju itu juga mahu DBKL proaktif dalam menangani isu kenderaan rosak yang diletak di petak parkir. Penguatkuasaan yang lemah atau hampir tiada, katanya, menyebabkan pemandu tidak takut disaman.
“Kita tidak pasti ada atau tidak petak parkir di kawasan rumah kedai yang boleh disewa daripada DBKL. Adakah wujud pihak ketiga yang memantau situasi ini, contohnya seperti adakah sewaan masih berlaku atau sudah tamat, lokasi yang boleh atau tidak boleh parkir, maklumat seperti ini bagaimana pemandu ingin tahu?” tanyanya.
Beliau berpendapat, DBKL seharusnya lebih tegas kepada pemandu yang sengaja membuat ‘double park’ , membiarkan kenderaan rosak di petak parkir dan menunda kenderaan yang parkir ditepi jalan di kawasan perniagaan.
Andre yang turun padang bersama Ahli Parlimen Wangsa Maju Datin Paduka Dr Tan Yee Kew pada 14 Jun lalu telah membuat lawatan ke beberapa kawasan yang menjadi punca kesesakan di Jalan Gombak dan Jalan Semarak Api. Lawatan tapak berkenaan, katanya dijalankan bersama jabatan-jabatan DBKL dan sekaligus membuka mata kepada penjawat awam tentang masalah yang dihadapi oleh penduduk setiap hari.
"Semenjak masuk ke era endemik ini kesesakan kenderaan di pusat bandar bertambah serius, lebih daripada keadaan sebelum Covid 19 melanda.
"Sehingga sekarang, tidak ada pendekatan yang jelas daripada pihak berkuasa untuk menangani isu ini walaupun terdapat cadangan untuk melupuskan kenderaan berumur 10 tahun ke atas namun mendapat tentangan daripada netizen.
"Pada masa yang sama kerajaan pula bertindak menghalang mikromobiliti seperti skuter dan basikal elektrik sebagai kaedah pengangkutan arus utama untuk mengurangkan penggunaan kereta, walaupun kini ia semakin popular di pusat bandaraya utama seluruh dunia.
Menurut Andre lagi, wajar ada satu pendekatan drastik dalam memastikan penyelesaian menyeluruh masalah parkir di Kuala Lumpur dan bagi memastikan pemandu mematuhi undang-undang.