top of page

Bayaran balik PTPTN graduan kelas satu: Kajian hingga setahun terlalu lama

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Cadangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mengambil masa setahun mengkaji semula pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi graduan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) kelas pertama dipersoalkan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang menyifatkannya sebagai terlalu lambat.


Katanya, setahun merupakan satu tempoh yang panjang dan tidak mencerminkan keperluan mendesak yang dihadapi pelajar pada hari ini.


Dalam tempoh penangguhan itu juga ujarnya, berisiko menimbulkan persepsi bahawa kerajaan sengaja melengahkan pengembalian semula dasar yang sebelum ini mengiktiraf kecemerlangan akademik mereka.


"PTPTN dan Kementerian sebenarnya sudah mempunyai rangka kerja jelas berdasarkan dasar pengecualian kelas pertama sebelum ini. Mekanisme tersebut bukanlah perkara baharu.

Lee Chean Chung
Lee Chean Chung

"Pelajar yang bergraduasi dalam keadaan kewangan yang mencabar tidak mampu menunggu dalam keadaan tidak pasti untuk tempoh yang begitu lama.


"Kelewatan setahun berisiko memberi gambaran bahawa kerajaan sedang mencari alasan untuk tidak mengembalikan insentif tersebut.


"Walaupun saya mengalu-alukan usaha kerajaan untuk menambah baik atau memperkukuhkan skim tersebut termasuk kemungkinan menjadikannya biasiswa atau insentif yang lebih tersusun, penambahbaikan ini tidak wajar dijadikan alasan untuk melambatkan pelaksanaannya semula," katanya menerusi satu kenyataan.


Menurut Chean Chung, beliau telah menyerahkan surat rasmi kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menggesa mengembalikan pengecualian atau insentif tersebut, berserta syarat perkhidmatan yang munasabah.


Sebagai contoh katanya, penerima manfaat boleh diwajibkan bekerja di Malaysia sekurang-kurangnya tiga tahun selepas tamat pengajian.


Beliau berpendapat, model seimbang itu dapat mengurangkan beban kewangan pelajar sambil memastikan graduan berbakat terus menyumbang kepada pembangunan negara.


"Ia juga membantu menangani kesukaran pelajar dan pada masa sama menyokong usaha negara mengatasi kekurangan bakat, yang merupakan satu situasi ‘menang-menang’ untuk negara dan golongan muda.


"Jika kerajaan ingin mengembalikan keyakinan anak muda Malaysia, semangat sebenar MADANI mesti diterjemahkan melalui dasar yang menegakkan keadilan, kesaksamaan dan peluang sama rata.


"Membiarkan pelajar cemerlang terus berada dalam ketidaktentuan yang berpanjangan bercanggah dengan prinsip asas tersebut," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page