top of page

Bayar PTPTN: KPT disaran tubuh jawatankuasa kaji pengecualian graduan IPTS cemerlang

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 hours ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) digesa mempertimbangkan cadangan Pemuda Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas PTPTN–KPT bagi mempercepat reformasi dan menetapkan garis masa kajian pengecualian bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) graduan cemerlang Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).


Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, jawatankuasa khas itu boleh dianggotai KPT, PTPTN, wakil IPTA dan IPTS, pertubuhan pelajar, NGO serta Ahli Parlimen yang lain.


Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan proses kajian semula dijalankan secara profesional telus dan inklusif.


Katanya, kecemerlangan tidak wajar dipisahkan antara universiti awam atau swasta dan pelajar tidak menuntut keistimewaan tetapi keadilan.

Lee Chean Chung
Lee Chean Chung

"Oleh itu, saya mendesak KPT segera mengumumkan garis masa kajian serta mekanisme penglibatan untuk semua pihak berkepentingan.


"Belanjawan 2026 mengumumkan bahawa graduan cemerlang dari IPTS tidak lagi layak menikmati pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN.


"Perkara tersebut menimbulkan keresahan dalam kalangan pelajar, ibu bapa serta pertubuhan masyarakat.


"Namun, dari Kamar Khas, jawapan bertulis Parlimen hinggalah kepada penyerahan petisyen oleh pelajar, hampir dua bulan telah berlalu tetapi KPT masih hanya menyatakan bahawa perkara ini 'akan dikaji'.


"Ini jelas tidak mencerminkan langkah reformasi yang sewajarnya di bawah Kerajaan MADANI," katanya dalam satu kenyataan.


Chean Chung menambah, kajian semula itu perlu mempunyai garis masa dan mekanisme ketelusan dan tidak boleh dijalankan secara tertutup selama setahun.


Dalam tempoh dua bulan ini katanya, bukan sahaja terdapat pelajar yang mengemukakan petisyen kepadanya, malah pelbagai pertubuhan pelajar dan pertubuhan masyarakat termasuk Persatuan Belia Xiang Lian Malaysia dan Pemuda Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia turut menyatakan rasa tidak puas hati.


"Persoalannya sampai bila KPT mahu 'mengkaji' perkara ini? Sebagai Ahli Parlimen kerajaan, saya sendiri masih belum mampu memberikan penjelasan yang munasabah. Ini bukan isu bantuan kebajikan bersasar, tetapi satu mekanisme untuk mengiktiraf kecemerlangan dan usaha pelajar.


"Tambahan pula, kami tidak pernah meminta pengecualian tanpa syarat. Pelajar boleh menandatangani syarat perkhidmatan, contohnya berkhidmat di Malaysia selama tiga tahun," ujar beliau lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page