
Ketua penerangan KEADILAN Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad menggesa kerajaan membayar pampasan kepada keluarga atau waris pesakit Covid-19 yang meninggal dunia sebelum mereka sempat menerima suntikan vaksin.
Beliau membuat gesaan sedemikian kerana mendapati peningkatan angka kematian akibat Covid-19 kebelakangan ini membuktikan kerajaan gagal menguruskan pandemik berkenaan termasuk dalam program vaksinasi.
"Angka ini menunjukkan kerajaan membunuh rakyat dengan ketidakcekapan menguruskan vaksin.
"Saya menggesa kerajaan memberikan ganti rugi kepada rakyat ataupun keluarga mangsa yang meninggal dalam keadaan tidak dapat diberikan vaksin walaupun mereka sudah daftar lama dan menunggu lama," katanya
Pada masa sama, Arafat juga menyifatkan kerajaan dianggap seperti 'membunuh rakyat sendiri' kerana gagal menguruskan program vaksinasi dengan berkesan.
"Dalam keadaan sekarang, KEADILAN Perak berpendapat rakyat berhak menuntut pampasan kerana kematian berlaku disebabkan kelemahan kerajaan menyalurkan vaksin khususnya untuk warga emas," katanya