top of page

Bawa reformasi kepada rakyat, satukan parti - Generasi KeADILan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Generasi KeADILan menganjurkan Sidang Generasi KeADILan 2026 di Melaka pada 15 Ogos ini dengan tema “Tekad Reformasi, Amanat Generasi” sempena Kongres Nasional KEADILAN 2026 di MITC, Air Keroh sehingga 16 Ogos.


Pengerusi Generasi KeADILan, Yusmadi Yusoff (gambar) berkata, pertubuhan itu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden KEADILAN merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kegigihan beliau memimpin Kerajaan MADANI, membela kepentingan rakyat dan mengangkat martabat Malaysia di persada antarabangsa.


Katanya, perjalanan hidup Anwar daripada tahanan politik kepada Perdana Menteri bukanlah sekadar kisah kebangkitan seorang pemimpin. Ia mencerminkan ketabahan sebuah keluarga, kesetiaan sebuah gerakan dan harapan rakyat terhadap perubahan.


"Di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar, Malaysia bukan sekadar hadir di pentas dunia. Malaysia kembali mempunyai suara," katanya dalam kenyataan hari ini.


Namun, kata Yusmadi, sokongan yang jujur dari anggota dan penyokong KEADILAN perlu disertai keberanian menyampaikan suara rakyat secara beradab dan bertanggungjawab.


"Kesetiaan kepada pemimpin tidak sekadar keberanian mempertahankannya ketika diserang, tetapi juga keberanian menyampaikan kebenaran sebelum terlambat," ujarnya.


Generasi KeADILan, kata beliau bukan kelab nostalgia, kumpulan pendesak jawatan atau satu lagi kem baharu dalam parti. Ia mahu menjadi jambatan antara sejarah perjuangan dengan masa hadapan Reformasi; antara kepimpinan dengan akar umbi; serta antara kerajaan dengan denyut nadi rakyat.


"Pejuang lama tidak meminta pengorbanan mereka dibalas dengan jawatan. Mereka mahu Reformasi disempurnakan."


Kata mantan Senator dan Ahli Parlimen Balik Pulau itu, kejayaan membawa seorang Reformis ke Putrajaya merupakan pencapaian bersejarah.


Namun, Reformasi mesti diterjemahkan kepada perubahan yang dirasakan oleh petani, peneroka FELDA, pekerja, anak muda, mahasiswa, golongan OKU, rakyat Sabah dan Sarawak serta keluarga biasa.


Sehubungan itu, katanya, Generasi KeADILan membawa tiga tekad dari Melaka iaitu memastikan Reformasi dirasai rakyat melalui khidmat, pendengaran dan penyelesaian masalah; menyatukan pengalaman veteran, tenaga anak muda, kekuatan wanita serta aspirasi Sabah dan Sarawak; dan memastikan kuasa terus dilaksanakan sebagai amanah, bukannya keistimewaan.


Tegas peguam kanan itu, KeADILan tidak ditubuhkan hanya untuk memenangi pilihanraya, tetapi untuk memperbaiki cara kuasa digunakan.


"Ujian sebenar Reformasi bukan ketika kita menuntut kuasa, tetapi ketika kita diberikan kuasa," katanya.


Sempena Kongres Nasional KeADILan 2026, kata beliau lagi, Generasi KeADILan menyeru seluruh anggota parti supaya memperkukuh kesatuan, mengembalikan politik kepada khidmat rakyat dan memastikan perjuangan Reformasi terus diwariskan kepada generasi seterusnya.


"Reformasi bukan perlumbaan antara generasi. Reformasi ialah amanat yang diserahkan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page