top of page

Bawa masalah rakyat di Parlimen, bukan bahas remeh temeh

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Mar 20, 2024
  • 2 min read


Parlimen sewajarnya menjadi tempat untuk membincangkan masalah rakyat selain tempat untuk membuat rang undang undang.


Sehubungan itu Senator Dewan Negara, Abun Sui Anyit menyeru ahli dewan agar mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim baru baru ini pemerintah - kerajaan dan pembangkang - mengutamakan kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat.


Katanya, anggota Parlimen perlulah mengetengahkan isu isu rakyat dan tidak terpesong dengan agenda peribadi.


"33 juta rakyat memerlukan perhatian setiap Ahli Parlimen dan bukan membincangkan perkara remeh dan berbentuk peribadi ke dalam dewan Parlimen.


"YDPA juga menasihatkan agar Kerajaan sentiasa hayati denyut nadi rakyat kerana menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membela nasib mereka. Jangan kita lupa dan abaikan rakyat yang berada di pedalaman. Ada rakyat di kampung seperti di Long Busang dan Long Kajang, Belaga, Sarawak yang dilanda banjir beberapa kali dalam tahun ini tetapi mereka belum menerima bantuan banjir seperti yang diadukan wakil mereka kepada saya.


"Mohon supaya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat mengambil berat dan bertindak atas aduan ini dan menyediakan bantuan kepada mangsa mangsa yang berkenaan. Cadangan supaya tapak rumah panjang yang lebih tinggi dan selamat perlu segera diusahakan untuk kedua dua kampung Long Busang dan Long Kajang oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah," katanya dalam sesi Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, kelmarin.


Tegas Abun Sui, kejayaan atau kegagalan negara bukan diletakkan di bahu Perdana Menteri sahaja tetapi merupakan tanggungjawab semua 222 Ahli Dewan Rakyat

Selain itu, katanya, pembangkang seharusnya memainkan peranan semak dan imbang dengan membawa cadangan cadangan alternatif kepada program kerajaan, bukannya menyusahkan kerajaan dan menakutkan pelabur luar negara.


Beliau juga menyentuh mengenai hubungan perpaduan antara kaum yang masih belum sempurna kerana masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan (Bahasa Malaysia) dan memahami budaya hidup kaum yang lain.


"Oleh itu, YDPA menyeru kepada Kerajaan untuk merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni. Bahasa jiwa bangsa – justeru Kerajaan perlu melipatgandakan usaha – usaha memartabatkan Bahasa Malaysia kepada semua rakyat Malaysia.


"Mewajibkan kelulusan dalam bahasa Malaysia di Sekolah perlu diperkasakan lagi. Pertanyaan saya kepada Kementerian Perpaduan dan Kementerian Pendidikan : Benarkah dengan penggunaan Bahasa Ibunda masing – masing selain Bahasa Malaysia dan wujudnya sekolah vernakular menyebabkan kegagalan dalam usaha menyatupadukan rakyat Malaysia?" tanyanya.


Abun Sui juga menyeru agar diperkukuhkan perpaduan pelbagai kaum dalam negara bagi mencipta masyarakat sejahtera dan harmoni.


"Memperkukuh perpaduan negara juga adalah dengan tidak menghasut rakyat memainkan isu 3R (race, religion and royalty). Isu 3R ini seolah olah tidak berakhir dalam negara kita, malah kelihatan semakin menjadi-jadi.


"Tidak bolehkah setiap parti politik di negara ini membincangkan isu yang hanya berkaitan isu isu pembangunan, ekonomi dan kebajikan rakyat sahaja," katanya.


Dalam ucapan tersebut, beliau menyentuh mengenai penyalahgunaan media sosial yang berleluasa dan mahu pihak kerajaan mengambil langkah tegas bagi memerangi penyalahgunaan kebebasan dengan membuat fitnah terhadap kerajaan atau memfitnah Raja Raja Melayu.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page