Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN seharusnya dianggotai ahli ahli yang membawa idea baharu untuk diterapkan dalam pentadbiran parti.
Sehubungan itu, pemimpin Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean menawarkan diri untuk bertanding sebagai ahli MPP pada pemilihan kali ini.
Menurut bekas calon Naib Ketua Wanita KEADILAN itu, peluang berkempen dalam pemilihan lalu telah digunakan beliau untuk mengumpul suara akar umbi bagi proses memantapkan pentadbiran parti dan akan digunakan bagi memantapkan KEADILAN sekiranya terpilih sebagai anggota MPP.
"Peluang untuk berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan dengan semua khususnya anggota wanita merupakan hasil yang paling berharga bagi saya sepanjang tempoh berkempen pemilihan ini.
"Justeru, dengan rendah diri, saya menawarkan diri bertanding sebagai Ahli MPP supaya idea idea yang lahir dalam sesi sesi ini dapat diintegrasikan dalam organisasi pimpinan pusat dan menyambung usaha untuk mengarusperdanakan gender dalam barisan pimpinan pusat," katanya.
Dalam pada itu, Loh turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang mengundi beliau dalam persaingan merebut kerusi Naib Ketua Wanita sebelum ini.
"Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua yang menyokong saya, tidak kira sama ada 14,960 anggota yang memilih saya, yang menjadi sukarelawan untuk meraih undi bagi saya dan usaha semua petugas yang menjayakan pemilihan parti ini amat dihargai.
"Saya rasa amat bersyukur kerana mendapat kepercayaan dan sokongan daripada anggota parti dan berjaya mencapai kedudukan ke-4 di antara 10 calon dengan perbezaan 466 undi dalam persaingan 3 jawatan Naib Ketua Wanita Pusat," katanya lagi.
Loh tidak lupa mengucapkan tahniah kepada semua pemimpin yang menang di semua peringkat khususnya Ketua Wanita Pusat Rodziah Ismail, Timbalan Ketua Wanita Pusat Juwairiya Zulkifli, Naib Ketua Wanita Puan Wasanthee Sinnasamy, June Leow dan Puan Sangetha Jayakumar.
Comments