Pelajar sekolah rendah mulai darjah empat, sekolah menengah sehingga ke institusi pengajian tinggi akan menerima baucar pembelian buku bernilai RM100 mulai esok.
Hal itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), petang tadi.
"Untuk anak-anak, baik di sekolah kebangsaan, sekolah Arab, sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil dan universiti, kita berikan baucar RM100.
"Bagi tahun ini, kita mulakan dari darjah empat, untuk mengurangkan tekanan kewangan kerajaan," katanya.
Kata Anwar, baucar itu akan diberi bermula jam 2 petang esok selepas Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menetapkan mekanisme serta panduan penggunaannya.
"Mulai jam 2 petang esok, pemberian baucar ini akan dimulakan, inshaAllah," katanya.
Tambah beliau, sebahagian kewangan baucar tersebut akan ditetapkan untuk pelajar membeli buku yang diusulkan seperti novel sasterawan negara.
Selebihnya, menurut beliau, diberi kelonggaran kepada pelajar untuk membuat pilihan bacaan mereka sendiri.
Turut hadir pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir; Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
PBAKL kali ke-41 yang berlangsung dari 24 Mei hingga dua Jun pada tahun ini diadakan secara hibrid, iaitu secara bersemuka dan atas talian dalam usaha memartabatkan buku sebagai sumber ilmu pengetahuan.
Pesta tersebut mempunyai 972 reruai, dengan 241 pempamer termasuk 14 pempamer dari luar negara. Antaranya dari Singapura, Thailand, Filipina, India, China, Taiwan dan Iran.
Comments