Pemberian baucar buku melibatkan murid serta pelajar institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disalurkan mulai pukul 2 petang ini.
Kementerian dalam kenyataan berkata, penyaluran baucar RM50 untuk pelajar tahap dua sekolah rendah dan RM100 kepada pelajar sekolah menengah dan penuntut di institusi pendidikan tinggi dan pelajar di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) tersebut dibuat melalui aplikasi DELIMa.
Menerangkan mengenai proses menebus baucar itu, kenyataan itu berkata pelajar perlu masuk ke aplikasi berkenaan dan klik ikon Kota Buku Digital dan selepas itu perlu mendaftar akaun di Kota Buku Digital.
"Kredit akan dipapar di akaun masing-masing sebelum pelajar boleh memilih judul yang disukai daripada kepelbagaian judul yang ada terutamanya judul cadangan Madani," kata kenyataan itu hari ini.
Setelah selesai memilih, pelajar boleh daftar keluar dan membuat pilihan bayaran kredit e-kedai.
"Buku yang dibeli akan dihantar terus ke alamat yang didaftarkan," kata kementerian.
Kementerian berkata, pemberian baucar itu mencerminkan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kepentingan menyemai minat membaca dalam kalangan generasi muda.
Ia juga bertepatan dengan usaha berterusan kementerian untuk mempertingkatkan budaya membaca dalam kalangan pelajar menerusi penganjuran pelbagai program galakan di setiap peringkat, katanya.
"Pemberian baucar buku seperti diumumkan adalah langkah ke hadapan yang menjadi pencetus kepada melahirkan generasi berilmu, pewaris masa hadapan Malaysia Madani."
Semalam Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) mengumumkan bantuan baucar buku dan mengarahkan kementerian agar mencari mekanisme penyerahan atau tuntutan baucar buku berkenaan.
Comments