Kontrak runding terus pembelian meriam howitzer bernilai RM834 juta yang disahkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussin dalam di Dewan Rakyat semalam merupakan satu permulaan yang baik untuk membetulkan proses perolehan pertahanan negara.
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, selepas kontrak runding terus itu disahkan maka tindakan seterusnya tentulah menyemak kembali Surat Niat yang diberi kepada syarikat tidak berkelayakan berkenaan dalam kontrak pembekalan peralatan pertahanan.
"Saya telah mendedahkan bagaimana keputusan Kerajaan Persekutuan melantik sebuah syarikat setahun jagung untuk dianugerahkan kontrak ini secara rundingan terus adalah bertentangan dengan kehendak pertahanan negara.
"Kementerian Pertahanan secara jelas memohon kontrak ini dibuat secara tender terhad supaya spesifikasi pertahanan dapat dipenuhi pada harga yang terbaik untuk negara.
"Kenyataan Hishamuddin itu mengesahkan keputusan Kerajaan Persekutuan memberi tender secara rundingan terus itu adalah benar," katnya.
Cuma masalah yang dihadapi pada waktu ini, kata Rafizi, sekiranya Surat Niat itu tidak dibatalkan segera maka konrak masih akan diberikan kepada syarikat yang tidak layak.
Sehubungan itu, katanya, beliau menyambut baik kenyataan Hishamuddin yang mencadangkan kerajaan membatalkan kontrak kepada syarikat yang diragui berkenaan.
"Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan hendaklah kembali kepada proses tender terhad sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Pertahanan mengikut spesifikasi persenjataan yang telah ditetapkan oleh Angkatan Tentera Darat," katanya lagi.
Apatah lagi, tambah Rafizi, syarikat yang akan menerika kontrak tersebut mempunyai hubung kait dengan Menteri kerajaan BN - PN dan merupakan praktik urusniaga kroni sebagaimana menjadi amalan biasa kerajaan BN sebelum ini.
"Saya pasti Hishamuddin sedia maklum mengenai perkara tersebut.
"Jika dia benar-benar prihatin mengenai kepentingan pertahanan negara, wajarlah dia mengambil tindakan sebagai Menteri Pertahanan membatalkan Surat Niat tersebut dengan segera," katanya lagi.
Comments