Batal SPLKPM: Menteri Pendidikan peka bebanan guru
- Suara Keadilan

- Dec 19, 2025
- 1 min read

Biro Pendidikan KEADILAN Cabang Kuantan merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, atas keputusan membatalkan pelaksanaan Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM) yang disifatkan amat bermakna kepada warga pendidik.
Pengerusinya, Tan Ibrahim, berkata keputusan tersebut mencerminkan kepimpinan yang peka terhadap denyut nadi guru-guru serta memahami realiti beban tugas pentadbiran yang dihadapi di sekolah-sekolah seluruh negara.
"Langkah ini merupakan satu manifestasi kepimpinan yang mendengar denyut nadi warga pendidik serta memahami realiti beban tugas yang dihadapi oleh guru-guru di seluruh negara.
"Keputusan ini bukan sahaja meringankan beban pentadbiran yang tidak produktif, malah mengembalikan fokus utama guru kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti," katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau, Biro Pendidikan KEADILAN Cabang Kuantan menyambut baik keputusan itu sebagai langkah progresif ke arah reformasi pendidikan yang lebih mampan, berteraskan kepercayaan terhadap profesionalisme guru serta berpaksikan prinsip keadilan sosial.
"Kami percaya bahawa dasar pendidikan yang baik haruslah dibina atas asas kepercayaan, keikhlasan dan keberanian untuk melakukan perubahan. Justeru, tindakan YB Menteri ini wajar dipuji dan dijadikan contoh kepimpinan yang berani serta berjiwa rakyat," tegasnya.
Tambah beliau, pihaknya akan terus memberikan sokongan terhadap segala usaha Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memperkasa sistem pendidikan negara demi memastikan masa depan anak-anak Malaysia terus terjamin.
Sebelum ini Fadhlina berkata, pemansukan SPLKPM dibuat setelah meneliti pelbagai pendekatan dalam memastikan beban guru berkurangan.
Katanya, menerusi pemansuhan SPLKPM, para guru diharap dapat memberi tumpuan sepenuhnya di dalam kelas dengan meningkatkan pembelajaran dan pengajaran, selain menguasai pedagogi dan melakukan reformasi di dalam kelas yang bakal melibatkan pelaksanaan kurikulum baharu.









Comments