top of page

Batal cadangan wujudkan JASA, jangan bazir wang rakyat



Alasan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) kononnya Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dihidupkan semula bagi menyebar penerangan mengenai Covid 19 dan menangani berita palsu amat lemah.


Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, rakyat tidak perlu diperbodohkan mengenai fungsi JASA yang pada era pentadbiran BN merupakan jabatan propaganda kerajaan sehinggalah ia ditamatkan pada 2018 oleh Pakatan Harapan.


"Sememangnya dana berjumlah RM85.5 juta dalam Belanjawan 2021, iaitu RM4 juta di bawah butiran 021000 Hal Ehwal Khas (JASA) dalam Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif, dan RM81.5 juta di bawah butiran 050100 Perluasan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dalam Dasar Baru, bukanlah jumlah yang kecil.


"Sebagai perbandingan, jumlah ini boleh diguna untuk membina dua klinik kesihatan yang dilengkapi peralatan perubatan terkini dan mampu memberi khidmat kepada 500-800 pengunjung setiap hari. Atau ia boleh diguna untuk membina 3 bangunan sekolah dengan 24 bilik darjah setiap satu.


"Atau ia boleh dimasukkan ke dalam Tabung CERDIK, di mana jumlah ini mampu membeli 85,000 komputer riba tambahan untuk begitu ramai pelajar sekolah rendah dan menengah yang tidak mampu mengikuti pembelajaran secara dalam talian," katanya dalam satu kenyataan.


Sekiranya JASA digunakan untuk menerangkan perkembangan menangani Covid 19 atau fungsi penerangan lain maka menurut Fahmi, ia bertindih dengan fungsi agensi media kerajaan sedia ada termasuk Jabatan Penerangan, RTM, BERNAMA, BERNAMA TV, Komunikasi Strategik (StratCom) malah juga Unit Komunikasi Korporat Kementerian-Kementerian.


"Kenapa tidak dibelanjakan sahaja RM85.5 juta ini untuk membeli peralatan baru, menambah perjawatan dan memperkukuh badan-badan dan agensi-agensi sedia ada ini?


"Atau adakah Perikatan Nasional sebenarnya menganggap agensi-agensi penerangan, yang diberi lebih daripada RM731 juta dalam Belanjawan 2021, tidak mampu atau gagal melaksanakan tugas menyampaikan maklumat hingga ke akar umbi?" tanyanya.


Sehubungan itu, Fahmi meminta agar kewujudan semula JASA dibatalkan. Katanya, wang rakyat tidak perlu dibazirkan hanya untuk propaganda memperlihatkan imej kerajaan Perikatan Nasional baik di mata masyarakat.


"Oleh itu, sekiranya Kerajaan benar-benar memahami keresahan rakyat termasuk di kalangan Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang berkenaan isu JASA ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia serta Menteri Kewangan perlu membatalkan cadangan mewujudkan semula JASA.


"Belanjawan 2021 juga perlu dipinda dengan mengagihkan dana berjumlah RM85.5 juta ini sama ada kepada program-program dan agensi-agensi penerangan dan komunikasi sedia ada, atau dibelanjakan untuk program-program yang lebih bermanfaat kepada rakyat," katanya lagi.


Peruntukan JASA yang luar biasa tinggi berbanding ketika pada era BN sekitar RM30 - 40 juta menjadi perbahasan hebat dalam kalangan netizen sejak Jumaat lalu.


Kewujudkan JASA menggiatkan lagi kempen #TolakBelanjawan dalam kalangan netizen sejak beberapa hari lalu.





0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page