Basmi kemiskinan bercanggah fitrah punca miskin berlarutan di Kelantan?
- Suara Keadilan

- Aug 9, 2025
- 2 min read

Kemiskinan berlarutan selama berdekad dekad, khusus sejak Pas merampas Kelantan dari Barisan Nasional pada 1990 lalu mungkin berpunca akibat pemahaman membasmi kemiskinan bercanggah dengan fitrah manusia.
Bagi mantan Ahli Dewan Negeri Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (gambar) ungkapan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh dalam perbahasan di Dewan Rakyat bahawa iltizam Kerajaan Madani untuk menokhtahkan kemiskinan tegar sebagai “bercanggah dengan naluri dan fitrah ketika Allah meciptakan manusia” merupakan pemahaman jumud yang khas dalam pemikiran pemimpin Pas.
Katanya, pandangan seperti itu bukan sahaja membingungkan dari sudut logik, malah bertentangan dengan semangat Islam sendiri yang sangat menekankan keadilan sosial, pembelaan terhadap golongan miskin, dan usaha memperbaiki taraf hidup umat manusia.
"Jika kita lihat sejarah, kenyataan seperti ini bukanlah baharu. Ketika Pas mula memerintah Kelantan pada tahun 1990, ada juga naratif bahawa kemiskinan itu “redha” atau “takdir”, yang dijadikan alasan untuk tidak agresif dalam usaha membangunkan negeri.
"Namun, pendekatan ini secara praktikalnya telah membawa kepada kelembapan pembangunan ekonomi di Kelantan, yang sehingga hari ini kekal antara negeri termiskin di Malaysia.
"Pada pandangan saya ia sebenarnya adalah (diguna sebagai) helah untuk pihak Pas menutup kelemahan dan kegagalan mereka sendiri dalam mentadbir dan mengurus," katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, kata Ustaz Fakhrulrazi, dalam ajaran Islam konsep “fakir dan miskin” sering diungkapkan dalam konteks yang memerlukan bantuan dan pembelaan.
Ujarnya, zakat, sedekah, wakaf, dan sistem ekonomi Islam semuanya bertujuan untuk mengurangkan jurang antara kaya dan miskin, bukan membiarkan kemiskinan terus berleluasa atas nama “fitrah”.
"Maka, kenyataan seperti ini (kemiskinan fitrah) boleh dilihat sebagai satu bentuk kegagalan memahami kehendak Islam yang sebenar, atau sebagai cubaan untuk mewajarkan kelemahan pentadbiran sendiri.
"Rakyat terutamanya di negeri seperti Kelantan berhak mendapat peluang yang lebih baik untuk keluar daripada kemiskinan, bukan dinasihati untuk “terima” kemiskinan seolah-olah itu satu ketetapan mutlak yang tidak boleh diubah.
"Kalau pemimpin sendiri tidak mahu berusaha membasmi kemiskinan, tak hairanlah negeri terus ketinggalan. Lebih malang slogan Islam yang digunakan untuk menutup kelemahan mereka menjadi fitnah kepada Islam itu sendiri atas kegagalan mereka (pemimpin Pas)", katanya lagi.
Minggu lalu, Nik Zawawi yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas berkata, usaha Kerajaan Persekutuan untuk membasmi miskin tegar tidak lebih sekadar sembang kosong kerana di mana-mana negara di dunia ini pasti ada kemiskinan.
Namun hujah Nik Zawawi itu mengundang kecaman banyak pihak itu termasuk netizen di media sosial.









Comments