Barisan Kabinet baharu bukti Anwar buka ruang pemimpin muda
- Suara Keadilan
- 6 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Rombakan kabinet yang diumumkan semalam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi dua petunjuk yang amat nyata.
Pertama, semua lantikan baharu yang dibuat serta pengekalan muka-muka lama, baik sebagai menteri atau timbalan menteri, adalah daripada kalangan yang dipercayai serta diyakini boleh bekerja dengan baik demi kesejahteraan rakyat.
Sebagaimana ditekankan Perdana Menteri ketika pengumuman lantikan, hakikat itu adalah faktor yang tidak dapat disangkal lagi.
Semua yang dilantik dilihat mempunyai rekod kerja yang baik dan kerap berdamping dengan rakyat tanpa mengira waktu.
Kedua, keyakinan Perdana Menteri kepada bakat-bakat muda untuk menjadi pelapis kepimpinan kepada masa depan negara. Mereka adalah pemimpin-pemimpin muda yang diyakini dapat meneruskan kesinambungan kepimpinan yang cemerlang serta mampu menjulang nama negara di pentas dunia.
Dua tokoh muda iatu Akmal Nasir dan Dr Taufik Johari yang dilantik sebagai menteri adalah gambaran kedua-duanya merupakan pelapis kepimpinan yang diyakini untuk masa depan negara.
Lantikan dibuat, termasuk mengekalkan Adam Adli sebagai timbalan menteri di kementerian yang lebih penting, iaitu Pengajian Tinggi, adalah tidak lain untuk mendedahkan mereka menimba pengalaman yang secukupnya dalam soal pentadbiran negara.
Pemimpin berpengalaman
Dengan berada di dalam Jemaah Menteri bersama pemimpin berpengalaman daripada lain-lain parti, hal itu secara tidak langsung merupakan peluang yang amat berguna buat mereka.
Yang penting, mereka mesti sedia belajar dan terus menimba ilmu serta pengalaman demi membina masa depan.
Berdasarkan susunan kabinet yang menampakkan kepelbagaian dalam pelbagai segi, pasukan ini juga diyakini mampu menterjemahkan kejayaan kepada parti-parti yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan untuk mencipta kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke 16 akan datang.
Anwar sebagai ‘bapa’ bukan sahaja ingin mengekalkan perpaduan dan keharmonian dalam negara, malah sedang membuka ruang kepada pelapis-pelapis muda sebagai pengganti bila tiba masanya nanti.
Oleh itu adalah sangat diharapkan barisan kabinet yang telah dilantik ini dapat membantu PMX sehabis mampu demi Malaysia MADANI yang cemerlang.
Berusaha dan bekerjalah dengan cekal, gigih serta jujur. Jalan terus. Janganlah menghampakan PMX serta seluruh rakyat Malaysia.





