Kelewatan mangsa banjir menerima Bantuan Selangor Bangkit RM1,000 akan diselesaikan selewat lewatnya pada hujung Februari ini.
Hal berkenaan ditegaskan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam sidang media, petang tadi.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri perlu menyemak dan melakukan pemutihan bagi penerima di Daerah Kelang dan Petaling yang agak ramai jumlahnya.
"Terdapat mangsa banjir di Daerah Kelang dan Petaling yang masih belum menerima Bantuan Selangor Bangkit.
"Saya ingin menyatakan maaf atas beberapa sebab kelewatan. Kerajaan Negeri mendapati berlaku pertambahan permohonan di Kelang dan Petaling serta lebih permohonan daripada sekali oleh ahli keluarga selain ketua isi rumah.
"Daerah Kelang sahaja keseluruhan permohonan 77,000, daripadanya ada yang datang lewat kerana membersihkan rumah, dan terdapat pertindanan permohonan yang berlaku di kalangan penerima.
"Kita terpaksa melakukan saringan dan akan kita akan selesaikan hingga akhir minggu hadapan di Daerah Petaling," katanya.
Untuk daerah Kelang, kata Amirudin, berbaki 30,000 permohonan yang belum selesaikan. Kapasiti yang diuruskan oleh Pejabat Daerah sekitar 1,000 permohonan sehari
Justeru, MB telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menggandakan pemberian bantuan pada minggu hadapan sekitar 2,000 - 3,000 sehari.
"Semua proses Bantuan Selangor Bangkit dijangka akan dapat diselesaikan pada 28 Februari ini.
"Daerah lain yang telah menyesaikan banyak permohonan, semua tinggal di bawah 1,000 penerima yang belum menerima," katanya.
Tambah beliau, sehingga tengah hari semalam sejumlah 55,425 keluarga telah menerima bantuan RM1,000. Sementara 13 keluarga yang kehilangan orang tersayang diberi RM10,000, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan yang diberikan sebanyak RM55.55 juta.
Di samping itu, katanya, Kerajaan Negeri juga telah berkerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan mangsa banjir hanya perlu mengisi satu borang. Sesiapa yang mengisi borang tersebut akan menerima Bantuan Selangor Bangkit dan Bantuan Wang Ihsan.
Kommentare