Bantuan SARA beli barang basah: KPDN sedia bawa cadangan
- Suara Keadilan

- Sep 13
- 1 min read

Kerajaan MADANI melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited mendengar suara rakyat dalam memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar memenuhi keperluan harian golongan sasar.
Timbalan Menteri KPDN, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pihaknya bersedia mengemukakan cadangan supaya penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut dibenarkan membeli barangan basah seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran menggunakan bantuan tersebut.
"Buat masa ini penerima SARA hanya boleh membeli barangan dalam 14 kategori yang ditetapkan Kementerian Kewangan. Saya akan membawa cadangan ini kepada perhatian MoF," katanya dipetik.
Dr Fuziah berkata begitu dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Jom Cari Menu Rahmah di Tanjung Gosong, Pekan pada Jumaat.
Penerima SARA boleh menggunakan bantuan diterima untuk memberi barangan asas seperti beras, minyak masak, telur, mi segera dan makanan dalam tin.
Namun segelintir penerima berharap kerajaan mempertimbangkan peluasan bantuan untuk membeli barangan basah.
Sementara itu, mengenai Inisiatif Jom Cari Menu Rahmah, Fuziah menegaskan ia dilaksanakan bagi membantu rakyat mendapat akses lebih mudah kepada premis yang terus menawarkan Menu Rahmah di seluruh negara.
"Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat mengenai lokasi kedai yang menyediakan Menu Rahmah, malah memastikan manfaatnya dapat dirasai semua lapisan rakyat," jelasnya.









Comments