top of page

Bantuan pesara, peruntukan sekolah keutamaan Belanjawan MADANI

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
13 hours ago
2 min read
Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Yunos
Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Yunos

Kebajikan penjawat awam dan pesara serta peningkatan bantuan persekolahan antara perkara yang diketengahkan dalam Belanjawan MADANI bagi membantu meringankan beban kewangan rakyat.


Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Yunos, berkata pengumuman bantuan kepada penjawat awam dan pesara serta peningkatan Bantuan Awal Persekolahan daripada RM150 kepada RM200 menunjukkan perhatian kerajaan terhadap keperluan rakyat.


Menurutnya, bantuan awal persekolahan itu dapat membantu ibu bapa membuat persiapan lebih awal bagi memenuhi keperluan anak-anak menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.


"Sekarang ditambahkan jadi RM200. Insya-Allah hujung tahun, apabila nak buka sekolah, anak-anak semua dah ada sekurang-kurangnya perbelanjaan awal persekolahan sebanyak RM200," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah umum “Kami Rakyat Menyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim” anjuran Persatuan Kasih Morni Malaysia di Masjid Tanah, Melaka, semalam.


Eddiarman turut menyentuh pengumuman bantuan sebanyak RM1,500 kepada penjawat awam, RM750 kepada pesara serta RM750 kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia yang tidak berpencen.


"Untunglah penjawat awam ini. Tahun depan, insya-Allah mereka dapat lagi. Penjawat awam dapat RM1,500, pesara dapat RM750. Pesara tentera yang tidak berpencen pun dapat juga RM750," katanya.


Beliau turut menekankan kemudahan pembelian barangan keperluan asas menggunakan MyKad menerusi inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang menurutnya memudahkan rakyat mendapatkan bantuan tanpa perlu melalui proses yang rumit.


"198 negara di dunia ini, saya nak beritahu. Apa yang membezakan kita dengan mereka ialah kita boleh membeli barang keperluan dengan menggunakan kad pengenalan," katanya.


Beliau berkata penggunaan teknologi dalam penyaluran bantuan bukanlah sesuatu yang muncul secara tiba-tiba, sebaliknya mempunyai kaitan dengan usaha memperkenalkan kaedah pembayaran digital sejak beberapa tahun lalu.


Menurutnya, pengenalan sistem pembayaran tanpa tunai sebelum ini menerima kritikan, namun perkembangan semasa menunjukkan kemudahan digital semakin diterima masyarakat.


"Pada masa itu, bukanlah RM50 yang kita nak cerita. Kita nak cerita, ini adalah test drive. Kita nak beli kereta, kenalah uji dahulu. Begitulah juga dengan teknologi yang diperkenalkan untuk kegunaan rakyat," katanya.


Eddiarman berkata kemudahan menggunakan MyKad untuk membeli barangan keperluan membuktikan teknologi boleh dimanfaatkan bagi memudahkan urusan rakyat, khususnya dalam penyaluran bantuan.


"Dulu kita dikecam hebat, tetapi hasilnya hari ini rakyat nampak bagaimana kita menggunakan IC untuk membeli barang di kedai. Hari ini, mereka yang mengkritik dahulu turut sama beratur membeli barang menggunakan IC," katanya.


Beliau menegaskan bahawa dasar dan pembaharuan kerajaan perlu dinilai berdasarkan manfaatnya kepada rakyat, selain usaha mengekalkan perkara yang baik dan menambah baik kelemahan sedia ada demi kesejahteraan masyarakat.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page