top of page

Bantuan melalui darat ke Gaza, PM setuju hubungi Presiden Mesir

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 9
  • 2 min read
DS Anwar berucap pada Himpunan Soladariti Gaza di Stadium Arena Axiata, Kuala Lumpur malam tadi
DS Anwar berucap pada Himpunan Soladariti Gaza di Stadium Arena Axiata, Kuala Lumpur malam tadi

Oleh: Helmi Foad


Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan dukungan terhadap usaha memecahkan kepungan ke atas Gaza dengan menukar strategi penghantaran bantuan melalui jalan darat dari Mesir.


Perdana Menteri berkata, pihaknya akan menggunakan hubungan rapat dengan Presiden Abdul Fattah Al-Sisi bagi mendapatkan laluan ke wilayah bergolak itu dengan mengambil kesempatan daripada sesi rundingan yang diadakan sekarang.


"Alhamdulillah, kita ada nikmat di negara Malaysia tercinta ini. Jadi, minggu depan selesai belanjawan. Isnin, Selasa saya akan panggil dengan kawan-kawan bincang, dengan Sani, Nadir dan kawan-kawan wakil, macam mana strategi nak sampai ke Mesir. Pecah tembok Rafah!

"Dan kalau boleh minggu depan, setelah berunding dengan mereka, saya akan hubungi Presiden Abdul Fattah Al-Sisi, Presiden Mesir," katanya ketika berucap pada Himpunan Soladariti Gaza di Stadium Arena Axiata, Kuala Lumpur malam tadi.


Hadir sama Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan menteri-menteri Kabinet yang lain serta wakil-wakil kedutaan asing.


Perdana Menteri mengakui usaha untuk menghentikan peperangan di Gaza memerlukan strategi dan kebijaksanaan dengan menggunakan pelbagai cara.


"Tapi yang saya nak jamin, sokong Palestin, itu tetap. Baik, ada cadangan yang saya rasa wajar diberi pertimbangan.


"Saudara bayangkan, negara mana di dunia, bila kita bicara tentang Flotila dan Palestin, Kabinet dan seluruh pegawai-pegawai kanan kerajaan di sini. Peguam Negara, Ketua Polis semua ada," ujarnya.


Anwar berharap laluan untuk Malaysia menghantar bantuan melalui jalan darat akan menjadi mudah sekali gus dapat memberikan mesej sokongan kepada perjuangan rakyat Gaza dan Palestin.

"Mesej apa lagi? Dunia tidak boleh membisu. Dunia bukan dalam zaman barbaric. Ini zaman tamadun. Mesti bebas. Mesti beri mereka makan, minum, perubatan, sekolah, masjid seperti mana yang sewajarnya bagi mana-mana rakyat di dunia ini," katanya.


Anwar turut membetulkan pandangan segelintir pihak yang cuba mempertikaikan pendirian kerajaan dalam membantu rakyat Gaza dengan menegaskan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang bebas untuk menyuarakan pandangan.

"Bila saya luluskan RM100 juta, dia kata ada orang miskin di sini, mengapa heboh sangat nak bantu orang lain?

"Saya nak beritahu, kamu belajar baca balik perisytiharan kemerdekaan negara.... Malaysia ini merdeka sebagai negara bebas dan berdaulat. Bebas maknanya bebas menyuarakan.


"Mengapa kita merdeka? Kerana kita tolak penjajah Inggeris. Mengapa kita biarkan Gaza dijajah oleh Israel?" jelas beliau lagi.


Terdahulu Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby mengutarakan cadangannya agar Perdana Menteri terus memimpin mewujudkan gelombang kedua misi kemanusiaan melalui jalan darat.


Katanya Perdana Menteri boleh menggunakan hubungan akrabnya dengan kerajaan Mesir bagi menghantar misi melalui negara tersebut ke Gaza.


"Secara langsung, saya terfikir untuk minta tetapi malam ini saya minta agar Perdana Menteri mengunakan saluran beliau kerana rapat dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah Saeed Hussein Khalil Al-Sisi.


"Kami mohon izin untuk Sumud Nusantara menghantar bantuan melalui darat, kita sudah tiada peluang lain lagi," katanya selain mahu Perdana Menteri menjadi ketua misi (Chef de Mission) dalam pembebasan bumi Palestin.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page