Bantuan kepada masyarakat India lancar, belanja 2024 RM98.9 juta - PM
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan dakwaan bahawa kerajaan melengah-lengahkan kelulusan peruntukan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), sebaliknya menegaskan komitmen penuh dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar.
Beliau menjelaskan, pada 2024 dari RM100 juta, kerajaan telah membelanjakan RM98.9 juta yang memberi manfaat kepada 122,82 masyarakat India.
Bantuan seterusnya, ujar Anwar ialah subsidi pendidikan awal iaitu sebanyak RM9.32 juta dan bantuan pengajian tinggi B40 berjumlah RM17.63 juta pada 2024 juga telah diberikan oleh kerajaan.
''Bantuan komputer riba untuk SJKT pula bernilai RM2.99 juta yang melibatkan 6,000 unit komputer secara berperingkat.
''Seterusnya program pemeriksaan literasi STEM untuk murid SJKT tahun 2024 ialah RM218,306. Program bantuan subsidi dialisis untuk 600 pesakit pula adalah RM79 juta.
''Bantuan sinar cahaya MITRA (RM15.49 juta), kemudian ada program lain (seperti) PMKS yang mula dilaksanakan hanya pada tahun 2023 (RM2.07 juta),
''Malaysian Indian Community Entrepreneurship Programme (MICEP), yang merupakan bantuan geran pembangunan sehingga RM20,000 juga telah menyasarkan 450 peniaga mikro,'' katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan S Kesavan (PH–Sungai Siput) yang ingin tahu fokus Kerajaan MADANI melalui MITRA atau agensi lain dalam usaha membangunkan sosioekonomi masyarakat India secara menyeluruh.