
Mangsa banjir Selangor mendapat bantuan banjir, selain daripada wang tunai daripada Kerajaan Negeri mereka dibekalkan dengan barangan keperluan harian yang disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan beberapa pertubuhan lain.
Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Mughni menyampaikan bantuan sumbangan berkenaan semalam di peringkat DUN Sungai Kandis.
"Kami menerima 1,000 kotak makanan dan beras yang akan diagihkan ke DUN Sungai Kandis. Kampung terlibat banjir ialah Johan Setia, Kg Jalan Kebun, Kg Lombong, Kg Bukit Naga, Kg Sungai Kandis dan Kg Jawa. Ini kawasan yang terjejas banjir (teruk) minggu lepas.
"Kita pindahkan 5,000 orang dalam kejadian tersebut di 23 pusat pemindahan. Ada yang rasmi dan tidak rasmi. Ada di surau, masjid, dewan MPKK bahkan di pusat latihan dan tempat persendirian.
"Alhamdulillah beberapa hari ini air telah surut dan sekarang misi kita membantu penduduk terjejas. Kita edarkan lapik tidur seperti toto, selimut dan keperluan dapur seperti barang makan dan dapur memasak," katanya.
Zawawi juga mengucapkan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Selangor, Lembaga Zakat Selangor dan Zakat Pulau Pinang yang turut menghulur sumbangan.
DUN Sungai Kandis antara DUN terburuk dilanda banjir di Selangor pada pertengahan Disember lalu.