Bukan Ramadan selain umat Islam mengerjakan ibadah puasa, mereka juga dituntut mendalami erti berlapar dan dahaga dengan menyelami kehidupan lapisan masyarakat yang kurang kemampuan dan tidak memiliki makanan sewajarnya.
Sehubungan itu, Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutan, Andre Lai Cheng Heng menyeru seluruh rakyat tanpa mengira agama mengambil pengajaran ibadah puasa dengan menyantuni golongan kurang bernasib baik.
Katanya, dengan sumbangan yang disalurkan golongan berkemampuan maka kesusahan golongan rentan sekurang-kurangnya dapat diringankan.
"Berkongsi rezeki dengan golongan kurang bernasib baik sememangnya dituntut dalam mana-mana agama kerana dapat menginsafi diri dengan amalan mulia dan bukan hanya pada bulan Ramadan semata-mata.
"Jelas sekali dengan bantuan yang diberikan dapat memupuk semangat persaudaraan dan perpaduan antara seluruh rakyat tidak kira kaum dan di mana saja," ujarnya.
Selain membantu golongan susah, Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju itu juga menyeru seluruh rakyat tanpa mengira agama agar menghormati umat Islam yang berpuasa sepanjang Ramadan sebagai solidariti kepada amal ibadat mereka.
"Aktiviti berpuasa sebenarnya memberi manfaat besar kepada kesihatan tubuh badan setelah 11 bulan menjamu selera dan ia membolehkan sistem dalam badan contohnya pencernaan dibaiki dengan baik.
"Saya juga menggalakkan rakyat agar menginsafi penderitaan penduduk Gaza yang sedang dalam kelaparan dan tiada persediaan menyambut bulan Ramadan," katanya lagi.
Untuk rekod lebih 30,000 rakyat Palestin terbunuh sejak 7 Oktober lalu dan sekatan berterusan oleh rejim Israel menyebabkan rakyat Palestin di kawasan Gaza telah kehabisan makanan dan ubat ubatan.
Comentários