top of page

Banteras dadah: Aset hampir RM1 bilion disita, 98 makmal haram dimusnah



Agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjaya menyita aset bernilai RM990 juta yang terpalit dengan aktiviti dadah selain memusnahkan 98 makmal haram dan menahan 351 individu yang terbabit dengan jenayah tersebut dari 2019 hingga tahun lalu, kata menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.


Beliau berkata, menyedari hubungan rumit antara pengedaran dadah, rasuah dan pelbagai bentuk jenayah terancang, Malaysia kekal teguh memerangi ancaman itu melalui langkah penguatkuasaan undang-undang yang ketat.


"Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), sebuah pasukan pertahanan awam, memainkan peranan penting menyokong Polis Diraja Malaysia dalam operasi kawalan sempadan dan pencegahan aktiviti penyeludupan manusia, dadah terlarang, dan barangan seludup.


"Melalui usaha kerjasama antara RELA dan pihak berkuasa, Malaysia mengukuhkan komitmen untuk menjaga sempadan dan memerangi jenayah rentas negara, sekali gus menyumbang kepada keselamatan dan kestabilan serantau," katanya ketika berucap pada segmen peringkat tinggi Suruhanjaya Dadah Narkotik ke-67, Pejabat Berkaitan Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, Austria semalam.

Saifuddin berkata, Malaysia sedar bahawa dadah adalah masalah global dan pengedaran bahan terlarang itu melibatkan operasi transnasional oleh sindiket antarabangsa.


"Oleh itu, pencegahan dadah merupakan tanggungjawab kolektif dan sebarang tindakan hanya akan berkesan sekiranya terdapat kerjasama di antara agensi penguatkuasaan antarabangsa.


"Malaysia berikrar untuk meningkatkan kerjasama antarabangsa dan serantau dalam menangani masalah dadah sedunia selaras dengan kewajipan perjanjian antarabangsa dan serantau serta Pelan Strategik Antidadah 2021-2025 Malaysia," ujarnya.


Katanya, Malaysia juga akan terus mengukuhkan perkongsian dengan negara lain dan organisasi antarabangsa untuk membanteras pengeluaran dan pengedaran dadah haram serta memudahkan pertukaran maklumat, kepakaran dan amalan terbaik untuk memperkukuh usaha kolektif oleh masyarakat antarabangsa dalam mencegah jenayah berkaitan dadah.


Terdahulu, Saifuddin berkata kerajaan turut mengambil tanggungjawab memastikan bahan terkawal bagi tujuan perubatan dan saintifik dapat disediakan selain mengelak ia diubah menjadi aktiviti terlarang.


Beliau berkata bagi mengawal pergerakan dadah dan bahan psikotropik, kerajaan mengeluarkan sejumlah 16,865 kebenaran import dan eksport atau permit dari 2020 hingga 2023.


Jelasnya tindakan proaktif juga dilakukan dengan menggunakan dapatan penyelidikan makmal berhubung penemuan bahan terbaru untuk mengawal selia bahan-bahan berkenaan di bawah undang-undang negara.


"Pendekatan proaktif ini dapat menangani cabaran yang timbul ekoran kemunculan dadah dan bahan psikoaktif baharu dengan memastikan langkah kawalan yang mantap disediakan bagi mengurangkan percambahannya dan potensi bahaya," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page