Banteras buli: Kerajaan bakal kuatkuasa Seksyen 507B-G
- Suara Keadilan

- Aug 16
- 1 min read

Kerajaan MADANI sedang menyelaras pelaksanaan pindaan Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan bagi memastikan semua pihak memahami bahawa buli adalah satu jenayah.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat telah membincangkan mengenai perkara tersebut.
"Perdana Menteri menyampaikan pandangan tegas bahawa kerajaan tidak akan benarkan sikap buli seperti ini (kes kematian Zara Qairina Mahathir) berlarutan.
"Jadi, antara perkara yang akan diusahakan adalah penyelarasan beberapa tindakan memandangkan pindaan kepada Seksyen 507B hingga 507G yang telah mula berkuat kuasa pada Julai lepas.
"Kerajaan mahu pastikan semua kementerian, terutamanya yang menguruskan institusi pendidikan dan asrama, memahami serta melaksanakannya dengan berkesan," katanya dipetik.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) Tahun 2025 anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Putrajaya.
Dewan Rakyat pada 10 Dis 2024 meluluskan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 yang bertujuan menangani isu buli termasuk buli siber dengan lebih efektif dan menyeluruh.
Pindaan tersebut juga telah diluluskan di Dewan Negara pada 16 Dis 2024.
Sementara itu menurut Fahmi, Perdana Menteri juga telah menyampaikan pandangan mengenai sikap beberapa pihak serta tokoh yang dianggap tidak baik ataupun biadab.
Perdana Menteri menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka.








Comments