Bank Negara perlu teliti kenaikan tinggi insurans dilanggan NUTP
- Suara Keadilan
- Mar 14
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin meluahkan rasa hairan dengan polisi insurans berkumpulan dilanggan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) didakwa tidak termasuk dalam langkah interim yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM), iaitu kenaikan premium hanya dihadkan kepada 10 peratus.
Beliau berkata, menurut aduan yang diterima pihaknya insurans itu telah beberapa kali bertukar tangan.
"Mereka yang melanggan insurans NUTP ini juga menghadapi kenaikan premium yang banyak dalam masa singkat.
"Ada kes yang naik 852 peratus dalam 12 tahun dan ada yang mendapat kenaikan mendadak sebanyak 190 peratus daripada 2023-2024.
"Kami juga mendapat aduan daripada kes yang akan naik 28 peratus bermula April ini. Kami amat hairan mengapa perkara ini berlaku dan kita mahukan keadilan kepada semua," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, semalam.
Dalam isu sama, beliau turut menggesa BNM agar memperluaskan had kenaikan premium insurans kepada semua pemegang polisi.
“Ini guru-guru kita. Kebajikan mereka perlu dijaga dan harap kita sama-sama membina sistem insurans kesihatan yang lebih mampan untuk Malaysia," ujarnya lagi.
Menerusi satu kenyataan berkaitan isu itu, Tze Tzin berkata, Insurans Perubatan NUTP juga dikenali NUTP Takaful Healthcare, merupakan insurans berkumpulan yang bukan berstatus wajib.
Namun katanya, ramai dalam kalangan guru-guru mengambil insurans tersebut kerana ia lebih murah berbanding insurans perubatan peribadi.
Comments