top of page

Bank Negara perlu kawal selia insurans kesihatan potong perlindungan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 9
  • 2 min read
ree

Oleh: Helmi Foad


Bank Negara Malaysia (BNM) digesa bertindak segera terhadap aduan pencarum insurans perubatan jenis investment-link dengan penyedia polisi didakwa memendekkan tempoh perlindungannya secara mendadak serta membebankan pengguna dengan bayaran tambahan besar.


Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata masalah tersebut semakin ketara kebelakangan ini selari dengan pendedahan Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) bahawa hospital kerajaan kini turut menjadi tumpuan golongan T20 apabila kos rawatan melebihi had insurans mereka.


"Pelanggan yang membeli pelan investment-link sehingga umur 100 tahun kini berdepan pemotongan tempoh perlindungan secara drastik.


"Mereka juga diminta membuat bayaran tambahan atau ‘top-up’ dalam jumlah besar yang sangat membebankan, khususnya pesara," katanya dalam satu kenyataan.


Sebelum ini media melaporkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan kenaikan premium insurans kesihatan mendorong lebih ramai golongan berpendapatan tinggi mendapatkan rawatan di hospital awam.


Dalam kenyataanya, Tze Tzin berkongsi tiga kes terbaru membabitkan pencarum berusia 45 hingga 59 tahun.


Antaranya, seorang pelanggan berusia 47 tahun yang membeli pelan dengan perlindungan sehingga umur 100 tahun mendapati tempoh itu dipotong 36 tahun dan hanya dilindungi sehingga umur 64.


"Beliau membeli pelan dengan perlindungan perubatan RM2.1 juta, tetapi selepas tujuh tahun, syarikat insurans memberitahu perlindungan itu hanya mampu bertahan sehingga usia 64.


Tze Tzin berkata pelanggan itu sendiri mengeluh kerana sudah membayar beribu ringgit setiap tahun tetapi sekarang bila makin berumur, syarikat insuran kurangkan tempoh perlindungan.


Dalam kes lain, seorang pencarum berusia 59 tahun pula diminta membuat bayaran tambahan sehingga 200 peratus jika mahu mengekalkan perlindungan sehingga usia 90 tahun, katanya.


Menurut Pengarah Strategi KEADILAN itu, masalah tersebut berpunca daripada unjuran pulangan produk yang terlalu optimistik ketika dijual, dengan syarikat insurans mengandaikan keuntungan sehingga 9 peratus setahun selama dua dekad.


Namun realitinya, pulangan jauh lebih rendah menyebabkan nilai dana tidak mampu menampung kos perlindungan.


"Akibatnya, apabila pelanggan bersara pada usia 60-an dan sangat memerlukan perlindungan perubatan, mereka akan ditinggalkan oleh syarikat insurans," katanya.


Beliau menjelaskan BNM sebenarnya telah mengeluarkan pekeliling pada Julai 2019 bagi mengawal produk investment-link, tetapi pencarum yang membeli sebelum tarikh itu masih terjejas.


"Justeru itu, saya memohon BNM mencari penyelesaian kepada kes-kes sebelum 2019.


"Di bawah Seksyen 155(b) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Bank Negara perlu mengeluarkan arahan jika syarikat menjalankan perniagaan dengan cara yang memudaratkan pemunya polisi, pengguna atau orang awam," katanya.


Beliau menegaskan mekanisme lebih telus perlu diwujudkan bagi mengelakkan rakyat terkejut dengan kenaikan premium mendadak atau pemotongan perlindungan secara tiba-tiba yang akhirnya menambahkan tekanan kepada hospital awam.


Dalam pada itu, Tze Tzin menolak serangan politik pihak tertentu yang mendakwa Menteri Kesihatan “merosakkan sistem kesihatan awam” sambil menyifatkan tuduhan itu tidak berasas.


"Menteri Kesihatan kita berada di landasan yang betul dan sedang bekerja keras demi rakyat. Pelbagai reformasi kesihatan sedang dilaksanakan dan bakal membawa manfaat jangka panjang.


"Saya ingin memberi suntikan semangat kepada Dr Dzulkefly untuk terus berkhidmat dan jalan terus," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page